Ramai pengusaha bas sekolah muflis jika ‘lockdown’ hingga 3 bulan

0
3

Nilam Oshman

PERSEKUTUAN Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia menjangkakan lebih ramai ahlinya terpaksa ‘gulung tikar’ sekiranya Sekatan Pergerakan Penuh (SPP) berlanjutan lebih tiga bulan.

Presidennya Amali Munif Rahmat, berkata pihaknya menyambut baik bantuan ‘one-off’ RM500 melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa Plus) yang diumumkan kerajaan baru-baru ini.

Namun, katanya, jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kos perniagaan serta hutang sekiranya pelaksanaan SPP atau PKP3.0 berlanjutan untuk tempoh yang panjang.

“Kalau tengok turun-naik angka kes positif Covid-19, nampak gayanya ‘lockdown’ ini akan lebih panjang. Malah, Kementerian Pengangkutan juga ada memberi penangguhan pembayaran ‘roadtax’ sampai Ogos, jadi maknanya kemungkinan Ogos pun sekolah tak dibuka lagi.

“Justeru, RM500 tak cukup untuk memastikan pengusaha bas ini hidup, kesannya akan ada lebih ramai pemandu yang tarik diri selain ramai terpaksa dimufliskan dan risiko muflis itu tinggi. Kalau ikutkan anggaran tak rasmi lebih 40 peratus yang tutup perkhidmatan ini.

“Lagipun, tahun ini sekolah rendah dibuka awal Mac manakala menengah April, jadi jumlah pendapatan dalam dua bulan sahaja. Masalahnya, ketika mula beroperasi kami sudah berbelanja beribu-ribu ringgit dan ianya tak pulang modal. Sekiranya PKP penuh ini lebih tiga bulan makna makin berkuranglah pengusaha bas sekolah berlesen dalam Malaysia ini,” katanya kepada Malaysiapost

Selain itu, beliau turut berharap kerajaan membuka pendaftaran baru bagi bantuan Pemerkasa Plus itu kerana ada segelintir pengusaha bas sekolah yang terpinggir dan tercicir berikutan mengalami kesukaran mengisi borang di laman sesawang dan syarat kelayakan.

Beliau berkata, pihaknya turut merayu kerajaan meletakkan ‘creditor’ pinjaman pengusaha bas sekolah di bawah Kementerian Kewangan.

Jelas beliau, ketika PKP, pengusaha bas yang membuat pinjaman melalui ‘creditor’ ini tidak mendapat kelonggaran seperti yang diberikan institusi perbankan.

Katanya, ‘creditor’ berkenaan tetap mahu pembayaran dilakukan walaupun apa keadaan sekali pun walaupun dalam situasi yang berlaku ketika ini.

“Kira-kira 95 peratus pengusaha bas pinjam dengan ‘creditor’ jadi memang tak dapat moratorium bank. Hanya lima peratus dapat buat pinjaman dengan bank kerana mereka ada kontrak dengan syarikat-syarikat besar.

“Jadi, pengusaha-pengusaha bas ini tetap kena bayar walaupun terjejas dek kerana pandemik Covid-19. Mana yang tak bayar bas sekolah mereka akan ditarik atau tunggu perintah mahkamah.

“Justeru, disebabkan itu segelintir mereka menutup perkhidmatan dan berpendapat lebih baik rugi daripada menanggung hutang,”katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan pelaksanaan sistem Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dilanjutkan dalam tempoh 25 hari selepas sekolah dibuka semula 13 dan 14 Jun depan.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, secara keseluruhannya sekolah sedang bercuti ketika ini dan akan diteruskan dengan PdPR selepas sekolah dibuka selepas ini.

“Dalam tempoh 25 hari itu, semua pelajar temasuklah sekolah swasta dan antarabangsa yang berdaftar dengan KPM akan menjalankan sistem PdPR.

“Selepas tempoh 25 hari itu, sekolah akan bercuti semula bagi pertengahan penggal bermula 16 Julai bagi Kumpulan A dan 17 Julai bagi Kumpulan B,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here