SESI Persidangan Parlimen Hibrid yang sedang dikaji konsep dan mekanisme pelaksanaannya oleh Jawatankuasa Khas minggu lalu akan membuka suatu perspektif baru bagi sidang Dewan Rakyat dan Dewan Negara Malaysia.
Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata Jawatankuasa Khas tersebut telah meneliti konsep dan kaedah pelaksanaan sistem hibrid itu dari pelbagai sudut dan permasalahan, termasuk mengambil kira amalan persidangan hibrid Parlimen negara-negara luar seperti United Kingdom, Australia dan lain-lain.
Menurutnya, Jawatankuasa Khas tersebut dianggotai oleh Yang di-Pertua Dewan Negara; Yang di-Pertua Dewan Rakyat; Menteri di Jabatan Perdana Menteri; Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara, kedua-dua Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat serta Ketua Pentadbir Parlimen.
“Jika cadangan persidangan hibrid ini diterima dan diperkenankan oleh Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong, suatu proses persidangan inovatif akan muncul di mana persidangan secara tradisional ‘bersidang di dalam Dewan’, bagi memastikan syarat minimum korum persidangan dipatuhi dan juga ‘bersidang secara maya’.
“Beberapa aspek penting sedang dalam penelitian Jawatankuasa Khas khususnya dari sudut takrif dan pelaksanaan baru untuk diterima pakai demi memastikan antaranya tiada sebarang pelanggaran perundangan yang melibatkan Prosedur Operasi Standard (SOP) anti-Covid-19 yang berkuatkuasa pada masa ini.
“Ia lantaran konsep dan prosedur ini melibatkan pelbagai implikasi bukan sahaja perundangan termasuk Peraturan Mesyuarat kedua-dua Dewan tetapi juga ketentuan baru berkaitan kelakuan serta tingkah laku Ahli-ahli Parlimen sendiri selain hal-ehwal prasarana dan kelengkapan Legislatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Rais berkata, Jawatankuasa Khas itu juga secara khusus mengambil kira himpitan pandemik Covid-19 yang melanda negara dan rakyat serta mengambil berat kelangsungan suara rakyat di Parlimen yang berpaksikan Pemerintahan Raja Berperlembagaan.
Selain itu, katanya, Jawantankuasa Khas turut sama mengambil kira implikasi kuatkuasa pemerintahan darurat yang berdepan dengan cabaran kewangan dan beban tugas para pentadbir Parlimen serta perimbangan kemampuan mengemaskini prasarana yang sedia ada membabitkan komunikasi 222 kawasan Dewan Rakyat dan 70 Senator di seluruh tanah air.
Beliau berkata, justeru dengan terlaksananya projek legislatif itu merupakan suatu usaha yang murni dan amat membina kerana dalam apa jua keadaan, Parlimen sebagai institusi induk pemerintahan demokrasi perlu berfungsi.
“Usaha ini membuktikan kepada rakyat bahawa pihak Legislatif dan Eksekutif amat objektif terhadap keperluan dan tuntutan semasa khasnya bagi mendapatkan pandangan jujur, ikhlas dan membina daripada seluruh Ahli Parlimen dan para Senator mengatasi ancaman Covid-19 di Malaysia yang ketika ini sudah meragut 3,378 nyawa dan keseluruhan kes menjangkau 616,815.
“Dalam menjayakan matlamat murni dan objektif ini kuasa-kuasa Eksekutif dan Legislatif perlu dicantumkan supaya hasilnya menyempurnakan kehendak-kehendak Perlembagaan Persekutuan, Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan kuasa)1952, Peraturan Mesyuarat kedua-dua Majlis Dewan dan peraturan-peraturan sampingan berkaitan,” ujarnya.
Sementara itu, Rais turut menyatakan Jawatankuasa Khas berkenaan akan meneruskan mesyuarat susulan esok.
Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dilaporkan berkata kerajaan sedang mengkaji konsep dan mekanisme ke arah pembukaan semula Parlimen secara hibrid yang membabitkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Menurutnya, langkah sedemikian diambil bagi memastikan Parlimen berupaya berperanan seperti sewajarnya, walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 dan program pemulihan yang giat berjalan di semua peringkat. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

