WARGA Istana Negara merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah sempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda, hari ini.
Ucapan sembah tahniah Kebawah Duli Yang Mulia Seri Paduka Baginda tersebut disampaikan menerusi hantaran dalam laman Facebook rasmi Istana Negara.
“Didoakan semoga Seri Paduka Baginda Tuanku sentiasa dilimpahi keberkatan bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan jua.
“Didoakan ke hadrat Allah SWT juga semoga Seri Paduka Baginda Tuanku dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah serta putera-putera, puteri-puteri dan seluruh kerabat sentiasa berada dalam lindungan dan rahmat-Nya, dilanjutkan usia dan sentiasa berada dalam sihat walafiat.
“Dirgahayu Tuanku, Daulat Tuanku,” tulis hantaran itu.
Semalam, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut merakamkan ucapan tahniah kepada Al-Sultan Abdullah sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda hari ini.
Menurut Muhyiddin, beliau mewakili seluruh rakyat jelata dengan penuh hormat merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah sempena ulang tahun berkenaan.
“Patik sekalian mendoakan semoga Allah SWT terus menganugerahkan Tuanku kekuatan dan keberkatan untuk terus kekal bersemayam di atas Singgahsana Takhta Pemerintahan dengan penuh kebesaran, kedaulatan dan kesejahteraan,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/06/pm-rakam-ucapan-tahniah-sempena-hari-keputeraan-agong/

