Pemuda Umno Jasin sedia van khas Covid-19

0
2

DALAM usaha mengatasi masalah kekurangan kenderaan membawa individu positif Covid-19 ke Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) sebelum dihantar ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC), Pemuda Umno membantu menyediakan van khas.

Usaha itu dilakukan Pemuda Umno Bahagian Jasin yang menyediakan satu van khas kepada pesakit covid-19 di Parlimen Jasin untuk membawa mereka yang positif ke CAC.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata antara permasalahan utama yang selalu terjadi pada individu disahkan positif covid-19 adalah masalah kenderaan membawa mereka ke CAC sebelum dibawa ke PKRC Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh atau hospital.

“Dengan peningkatan kes Covid-19 yang semakin tinggi, maka bebanan petugas kesihatan untuk menyediakan kenderaan membawa mereka ini ke CAC juga amat terhad.

“Risiko mendapat jangkitan menyebabkan ada kalangan saudara-mara tidak berani membawa mereka tanpa kelengkapan lengkap seperti pakaian perlindungan diri (PPE) dan ada juga tidak boleh memandu sendiri disebabkan suami atau bapa sudah dimasukkan ke hospital terlebih dahulu.

“Maka Pemuda Umno Jasin mengambil inisiatif untuk mengurangkan bebanan mereka dengan menyediakan satu van khas kepada semua pesakit Covid-19 untuk membawa mereka ke CAC,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Dr Akmal berkata, perkhidmatan itu disediakan secara percuma berdasarkan kekosongan jadual van tersebut.

“Mana-mana individu yang ingin menggunakan khidmat ini, boleh hubungi Ahli Jawatankuasa (AJK) Pemuda Umno Jasin atau Ketua Pemuda Umno cawangan di tempat anda.

“Kami faham kesukaran yang anda semua hadapi di saat begini, maka biarlah kesukaran itu kita kongsi bersama. Moga Allah melindungi kita semua,” katanya. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here