Umno berhak tarik diri dari PN, jika teguran tidak berhasil – Khaled Nordin

0
1

SEBAGAI parti komponen terbesar dalam Perikatan Nasional (PN), Umno berhak menegur dan mengkritik pemimpin PN, malah berhak menarik diri daripada gabungan itu jika keadaan tidak menjadi lebih baik.

Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata Umno mempunyai hak, tugas dan tanggungjawab moral memastikan pemimpinnya di dalam PN dan gabungan itu secara umumnya dalam melakukan yang terbaik untuk rakyat.

“Setiap kali ada mana-mana pemimpin Umno mengkritik kerajaan PN, akan ada satu respon wajib yang mesti terbit. Mengapa perlu kritik PN? Bukankah Umno juga dalam kerajaan? Tak ada group WhatsApp kah?

“Walaupun jawapan kepada pertikaian sebegini sebenarnya sangat jelas, izinkan saya menegaskannya sekali lagi. Umno parti terbesar yang membentuk PN, suka atau tidak, itu hakikat.

“Jadi, Umno mempunyai hak, tugas dan tanggungjawab moral memastikan pemimpin di dalam PN dan PN secara umumnya melakukan yang terbaik untuk rakyat. Bukan sekadar menegur, Umno berhak menarik diri jika keadaan tidak menjadi lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, pertikaian terhadap kritikan Umno ke atas PN hanya membenarkan mentaliti ‘sekapal’, ‘satu geng’ dan ‘sama sahaja’.

“Kita tidak boleh membudayakan sikap berdiam diri atas mana-mana tindakan yang tidak bermanfaat hanya kerana yang melakukannya itu dari kalangan kita.

“Umno tidak boleh bersikap demikian, kerana ‘seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit’,” katanya.

Beliau berkata, konteks menegur adalah bagi membetulkan mereka dari kalangan pasukan atau ahli parti sendiri yang melakukan kesalahan.

“Rasulullah SAW mengajar, berkatalah benar sekalipun pahit. Janganlah kesalahan orang sebesar kuman di sebarang laut kita nampak, salah rakan sendiri sebesar gajah di depan mata, kita boleh tersepak,” katanya.

Menurutnya, fokus Umno adalah rakyat sera negara dan sesiapa sahaja melakukan tindakan tidak mendatangkan manfaat terbaik kepada negara, akan terus ditegur, dikritik, malah ditentang.

“Saya dan pemimpin Umno lain percaya bahawa tanggungjawab moral ini wujud dan mesti dilaksanakan. Umno akan terus menegur dan tidak boleh membisu kerana semua ini adalah untuk kebaikan bersama,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here