Tak cukup, Najib persoal jumlah peranti diberi kepada B40, M40

0
1
Pix via Malaysiapost

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempersoalkan adakah Malaysia hanya ada 150,000 keluarga B40 dan M40 dengan ramai anak-anak yang tak mampu beli peranti.

Persoalan itu tercetus susulan pengumuman Menteri Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin bahawa pengagihan 150,000 unit peranti kepada murid daripada kelompok B40 dan M40 untuk sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) akan selesai pada September tahun ini.

Mengulas mengenainya, Najib menyifatkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal mencari penyelesaian jitu dan akan menyebabkan ramai murid daripada keluarga kurang kemampuan akan ketinggalan dalam pembelajaran.

“Yang dijanji, 150,000 unit peranti untuk golongan B40 pada Februari 2021. Yang dapat, 13,000 peranti setakat Jun 2021. Bakinya pada September 2021.

“Lalu, disuruh semua rakyat termasuk golongan B40 dan M40 untuk menghadapi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tanpa peranti sebab kerajaan PN tak berjaya kawal gelombang ketiga yang sudah sembilan bulan lamanya.

“Candangan serta cara penyelesaian pun saya dah beri pada Januari lalu sebab saya ramal PKP separuh masak akan berpanjangan dan akibatnya ramai murid dari golongan B40 ketinggalan sepanjang tahun,” katanya di Facebook, hari ini.

Ahli Parlimen Pekan itu juga menempelak pihak tertentu yang mendakwa beliau hanya pandai mengkritik kerjaan semata-mata.

“Jangan tuduh senang atau sedap untuk Najib kritik je. Suruh Najib buat, ke laut pula.

“Sebab kerajaan BN dulu berjaya beri lebih dari 1.4 juta unit Netbook 1Malaysia secara percuma kepada Rakyat,” katanya.

Januari lalu, Najib pernah menggesa kerajaan menggunakan Tabung Perkhidmatan Sejagat (USP) dalam usaha membantu membekalkan dua juta komputer riba bagi memudahkan pelajar menjalani PdPR.

Najib berkata, dana bagi USP dikendalikan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan diwujudkan ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), yang mana semua syarikat telekomunikasi besar dalam negara akan menyumbang RM2 bilion setiap tahun kepada tabung itu.

Bagaimanapun pada pengumuman khas Kementerian Pendidikan hari ini, Dr Radzi mengumumkan hanya 150,000 peranti akan diberi kepada pelajar daripada kelompok B40 dan M40 untuk mengikuti sesi PdPR yang dilanjutkan sehingga Ogos ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here