PdPR ikut kesesuaian guru, murid – KPM

0
2
Seorang kakitangan swasta, Siti Saleha Mohd Salleh, 37 (dua kiri) tekun melakukan kerja dalam talian semasa bekerja di rumah sambil membimbing anak-anaknya, Syafi Amni Sharil Amin, 8 (kanan) dan Syaza Afrina Sharil Amin, 6 (dua kanan) serta anak saudaranya, Nur Amara Sofia Mohd Hakim, 6 (kiri) belajar secara atas talian (online) di rumah kediamannya, Setapak.

MANUAL bagi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) hanyalah satu panduan dan guru tidak perlu mengikut sepenuhnya.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, sejak kali pertama PdPR dilaksanakan, ia adalah berdasarkan kesesuaian kerana kekangan dihadapi guru dan murid.

“Guru lebih mengetahui dan mengenali murid mereka. Sebab itu kita jelaskan apa yang perlu dilaksanakan dalam PdPR adalah berdasarkan kesesuaian guru dan murid.

“Saya menerima mesej daripada ibu bapa yang meminta supaya KPM tidak lagi menggunakan manual PdPR 2.0 kerana mengandungi terlalu banyak subjek yang perlu diikuti sepanjang PdPR.

“Ingin saya jelaskan sepertimana yang telah dijelaskan oleh kementerian banyak kali manual PdPR 2.0 itu hanyalah satu panduan untuk membolehkan guru dan ibu bapa melihat secara keseluruhan apa kaedah boleh digunakan dan apa keadaan paling optimum yang boleh dilaksanakan,” katanya dalam sidang media hari ini.

Beliau berkata, tidak semestinya PdPR dilaksanakan sama seperti yang ditetapkan di dalam manual berkenaan.

Menurutnya, KPM turut menerima banyak pertanyaan tentang kurikulum bagi pelaksanaan PdPR dan ada ibu bapa yang mencadangkan supaya ia dipendekkan dan hanya beri tumpuan kepada subjek tertentu.

“Ingin saya beri penjelasan secara umumnya kita telah laksanakan penjajaran kurikulum pada tahun lalu bagi membolehkan kandungan disusun kepada tiga komponen utama.

“Komponen pertama adalah kandungan asas yang perlu dikuasai semua murid. Maknanya guru-guru dengan kepakaran mereka akan memastikan murid dapat menguasai kandungan asas kurikulum.

“Komponen kedua adalah kandungan tambahan membabitkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang menyokong kandungan asas dan komponen ketiga adalah kandungan pelengkap membabitkan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang melengkap kandungan asas,” katanya.

Menurutnya, apa sahaja yang dilaksanakan dalam kurikulum, tumpuan utamanya adalah kepada kemenjadian murid secara keseluruhannya.

“Sekali lagi saya ingin tegaskan apa yang diberikan dalam manual PdPR itu adalah contoh dan guru lebih mengetahui apakah pendekatan yang terbaik tentang kurikulum yang akan diajar oleh mereka.

“Saya harap penjelasan ini dapat memberi gambaran lebih luas kepada ibu bapa bahawa secara umumnya kurikulum itu telah dijajar bagi membolehkan komponen utama dalam setiap mata pelajaran itu diberi tumpuan dan bagi membolehkan guru-guru memilih apakah kaedah dan pendekatan yang paling sesuai,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here