Tolak permintaan UNHCR, menteri KDN angkuh – Anwar

0
2

PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ibrahim menyatakan rasa bingung dengan sikap angkuh dan retorik Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Ia berhubung permintaan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) untuk melawat pusat-pusat tahanan pelarian.

Menurut Anwar, insiden itu memaparkan betapa jeleknya imej dan reputasi negara sebagai negara yang belas dan prihatin terhadap warga tertindas tanpa mengira latar belakang kaum mahupun warna kulit.

“Menteri ini tidak belajar dari pengalaman trauma kolektif yang dihadapi oleh sekalian manusia di saat rempuhan wabak, dan betapa pentingnya penggembelengan seluruh kita dalam mendepani isu-isu penting yang mengesankan semua.

“Reputasi Malaysia terus lingkup dan punah di bawah pentadbiran kerajaan pintu belakang ini,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

Anwar berkata permintaan yang sebegitu mudah dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tidak wajar dilihat sebagai penghinaan terhadap kedaulatan negara.

“Atau menteri tidak sedar bahawa badan-badan seperti PBB itu sendiri yang berusaha mempertahankan kedaulatan kita yang ingin diinjak oleh gerombolan yang jauh lebih jahat,” katanya.

Semalam Hamzah dilaporkan berkata UNHCR tiada hak untuk memperolehi akses ke depoh tahanan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negara ini.

Beliau berkata, sebarang tindakan penguatkuasaan dilakukan JIM adalah membabitkan pendatang asing yang melakukan kesalahan.

“Saya nak jelaskan, ini negara kita yang dia (UNHCR) nak masuk ke depoh (tahanan) JIM kita kenapa? Kita tahu siapa yang kita tangkap, orang yang kita tangkap itu melakukan kesalahan.

“Jika ada kad UNHCR kita lepaskan. Mereka (JIM) tidak pernah pun melakukan perkara yang menzalimi sesiapa dalam negara kita ini,” katanya.

Beliau mengulas tindakan UNHCR yang mendesak mereka diberi akses ke ke depot JIM untuk menilai status warganegara Myanmar kerana kini mereka sudah tidak lagi mendapat akses tersebut.

Pertikaian itu ditimbulkan susulan tindakan kerajaan melaksanakan penghantaran pulang warga Myanmar yang didapati tidak mempunyai kad UNHCR tinggal di negara ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here