‘Feri tersadai sejak 2019, ketika Guan Eng masih Menteri Kewangan’

0
2

FERI Pulau Pinang yang bocor dan dimasuki air seperti gambar tular di media sosial sejak semalam, telah tersadai di Limbungan Bagan Dalam di negeri itu sejak 27 November 2019.

Perkara itu dijelaskan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong bagi menjawab bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang mendakwa ia berpunca daripada tindakan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghentikan operasi Feri Pulau Pinang.

Ka Siong berkata, feri yang bocor tersebut dihantar ke limbungan kerana memang dalam keadaan uzur dan alat-alat ganti yang diperbuat di Belanda pula tidak diperolehi.

Katanya, pada masa itu pengendali perkhidmatan ialah RapidFerry, iaitu sebuah anak syarikat Prasarana.

“Tumpang tanya Lim Guan Eng, pada 27 November 2019, siapa Menteri Kewangan masa itu? Prasarana adalah sebuah syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

“Ingat tak pada hujung 2019, Guan Eng selaku Menteri Kewangan umum peruntukan RM30 juta kepada Penang Port Sdn Bhd (PPSB) untuk tujuan pembelian Catamaran baharu serta mengambil alih daripada RapidFerry. (Nota: Guan Eng sekadar umum peruntukan tapi RM30 juta tidak disenarai dalam Belanjawan 2020).

“Kalau marah dan persoal kenapa tak membeli alat ganti untuk membaiki Feri Pulau Pinang ini dan seterusnya beroperasi, sepatutnya tanya diri sendiri kerana pada masa itu dia begitu ‘powerful’ dan saya bukan Menteri Pengangkutan, saya hanya Ahli Parlimen Pembangkang sahaja,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu semalam tular sebuah Feri Pulau Pinang yang tidak lagi beroperasi dimasuki air dan kelihatan contoh serta hampir tenggelam.

Berikutan itu orang ramai khususnya warga Pulau Pinang yang mempunyai nostalgia menggunakan perkhidmatan feri tersebut meminta pihak yang berkenaan mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak pengangkutan air tersebut tenggelam.

Semalam juga, Guan Eng menerusi ciapan di Twitter menyatakan rasa sedih melihat keadaan sebuah feri ikonik Pulau Pinang yang teruk selepas perkhidmatan feri bersejarah itu dihentikan oleh kerajaan PN dan Ka Siong.

Mengulas lanjut, Ka Siong mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri, Chow Kuan Yow kerana sentiasa berbincang dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk mencari penyelesaian pragmatik terhadap permasalahan khusus di negeri itu.

“Malah, beliau sendiri turun padang menaiki feri “bot laju” pada 30 Disember 2020 bersama-sama kakitangan pelabuhan sebelum perkhidmatan feri mula diambil alih oleh PPSB pada awal Januari lalu.

“Pada 24 Disember 2020, Prasarana yang dimiliki kerajaan pusat telah menulis surat kepada Exco Pengangkutan Kerajaan Pulau Pinang untuk menawarkan enam feri (sama ada beroperasi atau tidak) secara percuma kepada kerajaan Pulau Pinang.

“Namun, kerajaan negeri pada 18 Januari 2021 telah bersetuju dan sudi menerima hanya sebuah feri saja. MOT terbuka dan menerima keputusan. Apa-apa pun terima kasih diucapkan kepada CM Chow,” katanya.

Beliau berkata, sebanyak lima lagi feri lama boleh diubahsuai menjadi muzium, restoran dan feri khas pelancong pada waktu tertentu, tetapi bukan sebagai mod pengangkutan awam.

Sejak Januari 2021, katanya negara sentiasa berada dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat (PKPB) demi mencegah penularan wabak COVID-19.

“Pihak SPPP pula perlu melalui proses RFP atau tender terbuka walaupun ia melibatkan feri lama ataupun yang telah rosak,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here