SEBANYAK 30,000 hingga 40,000 dos vaksin Covid-19 perlu disuntik dalam sehari kepada warga Wilayah Persekutuan jika mahu mencapai imuniti berkelompok atau ‘herd immunity’ pada 31 Ogos 2021.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata ketika ini jumlah penduduk berusia 18 tahun ke atas di Wilayah Persekutuan adalah kira kira 1.6 juta.
“Untuk mencapai tahap ‘herd immunity’, katakan kita perlu berikan suntikan vaksin kepada 1.3 juta orang atau 80 peratus.
“Ini bererti 2.6 juta dos suntikan (perlu diberikan). Setakat ini lebih 200,000 telah disuntik, bererti perlu 2.4 juta lagi untuk capai 80 peratus.
“Andainya 31 Ogos menjadi sasaran, Wilayah Persekutuan perlu menyuntik 30,000 ke 40,000 dos sehari mulai 15 Jun ini,” katanya menerusi ciapan di Twitter malam tadi.
Bagaimanapun Annuar berkata, melihat kepada bekalan vaksin untuk bulan Jun, Julai dan Ogos, harapan untuk mencapai tahap ‘herd immunity’ lebih awal adalah cerah.
Baru-baru ini, kerajaan bersetuju melaksanakan program Trak Vaksin Bergerak bagi pemberian vaksin Covid-19 di kawasan-kawasan penularan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam masa terdekat.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Wilayah Persekutuan berhubung perkara itu.
Antara lain, ia bertujuan membolehkan lebih ramai warga kota mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 secepat mungkin. – Malaysiapost

