Covid-19: Semakin banyak lokaliti PKPD

0
3
Suasana hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Pangsapuri Sri Permai, Sungai Besi ketika tinjauan Malaysiapost hari ini.

SEMAKIN banyak lokaliti di Pahang, Perak, Sarawak dan Sabah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama dua minggu susulan peningkatan mendadak kes Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Pahang membabitkan satu lokaliti di Kampung Gunung Senyum, Temerloh yang berkuatkuasa 7 Jun ini selepas 22 kes positif dilaporkan setakat hari ini.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” katanya dalam kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN), hari ini.

Di Sarawak pula, beberapa lokaliti termasuk empat Rumah Panjang di Batang Oya, Dalat dikenakan PKPD juga berkuatkuasa 7 Jun ini.

“KKM mendapati berlaku peningkatan kes Covid-19 mendadak dalam tempoh satu minggu apabila 27 kes positif dilaporkan selepas saringan ke atas 40 orang penghuni rumah panjang di lokaliti tersebut.

“Beberapa lokaliti termasuk empat rumah panjang, satu sekolah rendah dan satu Klinik Kesihatan di Batang Oya, Dalat iaitu Rumah Panjang anak Umba; Rumah Panjang Tulu anak Sli; Rumah Panjang Duah anak Entingi; Rumah Panjang Balin anak Gema; Sekolah Kebangsaan St Luke dan Klinik Kesihatan Nanga Baoh,” katanya.

Di Perak, PKPD dikenakan di asrama pekerja Kilang Eco Medi Glove melibatkan Blok A, B, C dan D di Jalan Tembaga Kuning, Mukim Taiping.

“Sehingga kini, sebanyak 75 kes positif Covid-19 telah dilaporkan hasil daripada 230 ujian saringan yang dilakukan oleh KKM dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti itu,” katanya.

MKN juga mengarahkan pelaksanaan PKPD dua perkampungan dalam Mukim Ulu Kinta, iaitu Kampung Jelapang Baru dan Kampung Sungai Tapah.

Di Sabah, MKN mengarahkan pelaksanaan PKPD melibatkan tiga perkampungan  dalam daerah Tawau iaitu Kampung Blok 31, Kampung Sentosa Blok 5 Hilltop dan  Kampung Bukit Kukusan Tanjung Batu.

Turut dikenakan PKPD ialah Felda Umas 4 Kalabakan dan Taman Permata di Sandakan.

Semua PKPD ini berkuatkuasa bermula 7 hingga 21 Jun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here