Emak pesan selalu zikir bila tertekan – Luqman Hakim

0
2

PESANAN ibu agar sentiasa mengamal zikir telah menjadi azimat buat penyerang muda Harimau Malaya, Luqman Hakim.

Malah, Luqman juga mengakui itulah cara dia menghilangkan tekanan dan mencari ketenangan.

Jelas bintang negara yang beraksi di Liga Belgium bersama KV Kortrijk itu selalu mengamalkan bacaan zikir selepas solat bagi meredakan tekanan termasuk kritikan hebat diterima skuad Harimau Malaya susulan tewas 0-4 di tangan Emiriah Arab Bersatu (UAE) kelmarin.

Selain itu, dia juga mengakui terpaksa menutup semua akaun media sosial bagi mengekalkan fokusnya terhadap pasukan negara, sekali gus dapat mengelak gangguan ‘negatif’ berkaitan Harimau Malaya.

“Saya hilangkan tekanan ini banyak benda saya buat, contoh saya hilangkan tekanan saya tengok Netflix… tutup semua media sosial.

“Pesan mak saya selalu zikir (bila tertekan), walaupun muka saya ini nampak macam orang tak tahu zikir, tapi mak saya suruh zikir, jadi saya amalkan. Solat jangan tinggal Insya-Allah, Allah akan mudahkan perjalanan kita.

“Kita kena ingat pesanan ibu bapa ini penting, apa yang dia suruh buat ada kebaikan dia. Itulah cara saya nak hilangkan tekanan,” katanya dipetik Harian Metro, hari ini.

Mengulas mengenai suasana pasukan selepas tewas kepada UAE dalam kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 kelmarin, Luqman mengakui kem negara ketika ini agak suram, namun kekal fokus dan tenang.

Bagaimanapun, Luqman masih percaya rakan sepasukan akan bangkit kembali pada aksi berikutnya menentang Vietnam pada 11 Jun ini dengan dirinya bersedia diturunkan jika menjadi pilihan Tan Cheng Hoe nanti.

“Itu (jika diturunkan) semua keputusan di tangan jurulatih Tan Cheng Hoe, untuk kita sendiri kena bersedia dan sudah tentu kena bersedia lebih 100 peratus.

“Jika diberi peluang saya akan beri 200 peratus, dan apa yang ada pada diri saya sampai saya jatuh dan bangun balik, saya kutip dan saya letak balik dan lari, itu saya akan lakukan.

“Saya yakin dengan kawan-kawan semua dan sebelum pertandingan ini pun, saya anggap pasukan memang kuat dan pasukan ini akan layak ke pusingan seterusnya,” kata Luqman dengan penuh semangat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here