MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan Kongres Nasional PKR yang dijadualkan berlangsung esok ditangguhkan.
Ketua Setiausaha Pengelola merangkap Pengarah Kongres PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata parti itu menerima surat daripada MKN semalam dan makluman secara lisan daripada Pendaftar Pertubuhan pada hari sama.
Nik Nazmi berkata, arahan terbaharu MKN itu bertentangan dengan surat dihantar mereka pada 27 Mei lalu yang menyatakan MKN tiada halangan terhadap penganjuran Kongres Nasional PKR secara dalam talian sepenuhnya.
“PKR merakam bantahan keras tetapi terpaksa akur dengan arahan ini dan Majlis Pimpinan Pusat membuat keputusan untuk menangguhkan Kongres Nasional parti ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
“Butiran keputusan ini akan diumumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Amanat Khas esok menerusi Facebook parti pada 11 pagi.
“Antara isu yang akan disentuh adalah ekonomi dan Covid-19 serta perkembangan politik terkini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kongres tahunan ke-15 PKR dijadual berlangsung selama tiga hari dimulai dengan persidangan Wanita bersama ucapan Penasihat PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, diikuti ucapan dasar Ketua Wanita, Fuziah Salleh.
Hari ini, berlangsung persidangan sayap Pemuda PKR, dengan ucapan dasar oleh Ketua Angkatan Muda Keadilan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir. – Malaysiapost

