PRODUK tradisional PS 21 Capsule dikesan mengandungi racun berjadual, simvastatin, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata perkara itu disahkan Kementerian Kesihatan (KKM) berikutan pengesanan racun berjadual simvastatin yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional berkenaan.
Sehubungan itu katanya, pendaftaran produk tersebut telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD).
“Simvastatin merupakan sejenis ubat yang digunakan untuk mengurangkan paras kolesterol dalam darah dan pengambilan tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan.
“Antaranya gangguan pencernaan, rasa lemah, sakit kepala, gangguan pada fungsi normal hati, otot terasa sakit apabila disentuh atau lemah otot,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru Dr Noor Hisham menggesa orang awam untuk mengelak membeli dan menggunakan produk PS 21 Capsule.
“Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihat segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan,” katanya.
Pada masa sama beliau menegaskan, penjual dan pengedar produk itu perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya serta-merta.
“Penjualan dan pengedaran produk adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
“Individu yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan ini boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan-kesalahan berikutnya.
“Syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya,” katanya. – Malaysiapost

