Hishamuddin temui rakan sejawat dari China, bincang isu kedaulatan negara

0
1

MENTERI Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein akan mengetuai deligasi Malaysia ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN-China di Chongqing, China pada 7 Jun ini.

Mesyuarat itu adalah jemputan rakan sejawat dari China, Wang Yi, sempena ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog Asean-China dan semua Menteri Luar serta Setiausaha Agung ASEAN dijangka akan hadir.

Wisma Putra dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, mesyuarat khas itu akan membincangkan pelbagai isu terutama usaha menangani penularan wabak Covid-19, selain isu serantau dan antarabangsa.

Menurut kenyataan itu, Hishammuddin turut akan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Wang Yi bagi membincang kerjasama dua negara serta beberapa isu berbangkit termasuk situasi di Laut China Selatan susulan insiden pencerobohan ruang udara negara oleh 16 pesawat milik tentera udara China.

“Kedua-dua menteri dijangka membincang inisiatif baharu demi mengukuh kerjasama dengan fokus adalah program vaksinasi Covid-19, pembangunan, kewangan, ekonomi digital, pengeluaran makanan dan pertanian berteknologi tinggi.

“Kedua-duanya juga akan bertukar pandangan isu serantau dan antarabangsa membabitkan kepentingan bersama selain insiden di Laut China Selatan,” menurut kenyataan itu.

Menurut Wisma Putra, perbincangan diadakan bagi mencari langkah terbaik dalam memastikan insiden sedemikian tidak berulang bagi mengekalkan kestabilan dan keamanan, serta mengelak sebarang salah anggap atau impak yang tidak disengajakan.

Khamis lalu, Wisma Putra memanggil Duta Besar China dan menyerahkan nota bantahan diplomatik susulan insiden pencerobohan di ruang udara Zon Maritim Malaysia, Kota Kinabalu, Isnin lalu.

Jurucakap Kedutaan Besar China di Malaysia kemudian dalam kenyataan mendakwa kesemua pesawat berkenaan dalam rutin latihan biasa dan tidak melanggar undang-undang.

Sementara itu, dalam kenyataan sama, Wisma Putra turut memaklumkan Hishammuddin akan mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Diplomasi Antalya di Turki bermula 18 hingga 20 Jun yang dirasmikan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.

Menurut Wisma Putra, selain Mesyuarat Khas di ASEAN dan forum di Antalya, Hishammuddin bakal mengadakan lawatan rasmi ke Mesir, Kuwait dan Qatar.

“Lawatan kerja rasmi ini memberi peluang kepada Malaysia untuk mengukuh hubungan bersama Mesir, Kuwait, Qatar dan Turki.

“Malaysia turut akan menekankan sokongan terhadap rakyat Palestin serta pendirian negara berhubung konflik Israel-Palestin,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: PN BBC Portal

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here