ANGKATAN Muda Keadilan (AMK) mengusulkan agar bendera PKR menjadi logo mewakili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.
Usul tersebut dikemukakan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir dalam ucapan dasar sempena Kongres Nasional Tahunan AMK yang disiarkan secara langsung di Facebook hari ini.
Bendera dan logo PKR pernah digunakan PH pada PRU14 lalu yang menyaksikan gabungan tersebut buat pertama kalinya berjaya menumbangkang Barisan Nasional (BN).
Akmal yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru turut merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada DAP dan Amanah yang memberi sokongan penuh untuk mengangkat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.
“Cakap-cakap yang ingin cadangkan individu lain tidak lebih dari sekadar nak memecah belahkan kerjasama ini,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata bagi meneruskan kelangsungan perjuangan PKR, anak-anak muda yang berpotensi perlu segera dikedepankan terutama dalam menghadapi PRU15 nanti.
Katanya, ia perlu diambil serius oleh kepimpinan parti terutama untuk mendapatkan kembali kerusi yang dikhianati dan menawan kerusi yang belum dimenangi.
“Pemilihan calon perlulah lebih ketat, individu yang diragui kesetiaan kepada perjuangan reformasi ini perlulah ditolak sama sekali, kita tidak mahu pisang berbuah dua kali.
“Kerjasama dengan PPBM (Bersatu) telah memberikan kita 1001 pengajaran, tindakan mencurigakan umpama “sebelah tangan bersalam dan sebelah tangan lagi memegang pisau” mestilah dijauhkan,” katanya. – Malaysiapost

