Jangan sensasikan isu penjualan arak di pasar raya, kedai serbaneka

0
1

SEMUA pihak diminta tidak mensensasikan isu penjualan arak di pasar raya, kedai serbaneka serta kedai khusus menjual arak yang dibenarkan beroperasi ketika sekatan pergerakan penuh atau ‘total lockdown’. 
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata hanya kilang dan kedai menjual arak sepenuhnya tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh tersebut. 
“Saya mengambil maklum berkenaan isu kekeliruan penjualan arak di antara pasar raya dan ‘convenient store’ atau kedai serbaneka dan kedai khusus menjual arak, yang sedang hangat diperkatakan ketika ini. 
“Saya juga mengambil maklum keputusan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah membenarkan penjualan arak di kedai runcit seperti 7 Eleven sekiranya mempunyai lesen.  
“Hanya kilang dan kedai menjual arak sepenuhnya tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.  
Beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menyokong keputusan MKN dan akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi semua pihak yang terlibat. 
“Di kesempatan ini, saya ingin memohon maaf kepada semua pihak dan rakan media yang cuba menghubungi dan mendapatkan komen daripada saya berkenaan isu ini. 
“Saya sedang menjalani cuti sakit berikutan pembedahan mata yang dijalankan pada hari ini (semalam),” katanya.  
Menurutnya, dia sudah berpesan kepada Timbalan Menteri dan pegawai tertinggi kementerian untuk sentiasa memberikan penerangan jelas kepada masyarakat berhubung sebarang isu berkaitan KPDNHEP. 
Semalam, Sidang Khas MKN memutuskan penjualan arak di kedai runcit seperti 7-Eleven dibenarkan sekiranya mempunyai lesen. 
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata MKN memutuskan kilang arak dan premis yang khusus menjual arak tidak dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun lalu hingga 14 Jun ini.      Beliau berkata, premis atau syarikat perniagaan dan perkhidmatan dikategorikan sebagai perlu atau ‘essentials’ seperti makanan dan minuman dibenar beroperasi di bawah senarai perkhidmatan perlu. 
“Premis seperti ini termasuklah pasar raya, pasar mini dan kedai serbaneka. Sebahagian premis ini turut mempunyai lesen dan seksyen khas untuk menjual minuman keras. 
“Oleh itu, tiada larangan untuk premis terbabit yang dikategorikan sebagai perlu dan mempunyai lesen untuk menjual minuman keras dengan syarat mereka patuh kepada peraturan ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here