Berhenti salahkan rakyat – Zahid Hamidi

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

RAKYAT tidak boleh disalahkan semata-mata jika masih ramai dilihat berada di luar rumah walaupun ketika penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau ‘total lockdown’ bermula 1 Jun lalu hingga 14 Jun ini.  
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tidak adil menyalahkan rakyat kerana penutupan penuh dilaksanakan tidak seperti ‘total lockdown’ dengan sebahagian sektor ekonomi terus dibuka. 
“Lebih 60 peratus rakyat masih perlu ke sana sini untuk bekerja atau berisiko diambil tindakan dan diberhentikan kerja oleh majikan. 
“Sebahagian golongan peniaga pula perlu terus beroperasi dalam keterpaksaan demi menampung kehidupan. 
“Sebab itu kita lihat stesen minyak masih dipenuhi kenderaan, ramai orang beratur membeli makanan dan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) sentiasa sibuk,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.  
Menurutnya, itu semua urusan atau transaksi yang masih perlu dilakukan rakyat apabila ‘total lockdown’ yang bersifat ‘semi lockdown’. 
“Itu belum termasuk mereka yang perlu bergerak atas pelbagai sebab mendesak seperti ke hospital, ‘swab test’ dan sebagainya. 
“Maka sekali lagi saya seru kepada pihak tertentu supaya berhenti daripada terus menerus cuba mendoktrinkan kesalahan rakyat,” katanya.  
Beliau berkata, dalam keadaan pelaksanaan penutupan penuh yang ‘suam-suam kuku’ ini, sebahagian rakyat tidak punya banyak pilihan. 
“Kitalah yang perlu membantu sesama kita dengan memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat apabila berada di luar rumah,” katanya.  
Ahmad Zahid berkata, beliau juga percaya kesinambungan skim i-Sinar dapat menyokong dan membantu lebih ramai rakyat duduk tenang di rumah. 
“Kesannya berantai. Jika rakyat mempunyai kewangan mencukupi maka sebahagian besar mereka berupaya melakukan kawalan kendiri (self lockdown).  
“Justeru kerajaan dipohon pertimbangkanlah jua i-Sinar 2.0. Fahami rakyat sememangnya khuatir akan jangkitan Covid-19. Bantulah mereka,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here