SELEPAS diaibkan Emeriah Arab Bersatu (UAE) dengan kekalahan 0-4 serta menerima kecaman hebat pemimat bola sepak tempatan, skuad Harimau Malaya kembali menjalani latihan malam tadi (petang semalam waktu Dubai).
Laman Facebook Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berkongsi gambar-gambar sesi latihan skuad kebangsaan yang mempunyai rehat seminggu sebelum turun menentang Vietnam pada 11 Jun ini.
Malaysia masih memiliki baki dua perlawanan aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi Kumpulan G termasuk perlawanan terakhir menentang Thailand.
Menurut hantaran di Facebook FAM, sebelum latihan bermula, Presiden badan induk itu, Datuk Hamidin Mohd Amin bertemu para pemain bagi menyampaikan amanat serta kata-kata semangat.
Ia bagi menyalakan semua harapan untuk mereka kembali bangkit pada baki dua perlawanan terakhir akan datang.
Susulan kekalahan kepada UAE, peminat bola sepak termasuk bekas pemain mengkritik aksi longlai barisan pemain yang disifatkan tidak menunjukkan semangat juang serta mutu permainan rendah.
Dalam aksi tersebut, pemain naturalisasi Guilherme de Paula dikecam peminat susulan aksi hambar dan seolah-olah ‘tiada jiwa’ menyarung jersi Harimau Malaya.
Dua lagi pemain naturalisasi iaitu Liridon Krasniqi serta Mohamadou Sumareh juga dikritik peminat kerana mempamerkan aksi hambar serta tidak menampakkan kesungguhan.
Bagaimanapun jurulatih Tan Cheng Hoe mempertahankan aksi kesemua pemain dan yakin mereka akan bangkit dalam aksi seterusnya. – Malaysiapost

