Sahut seruan duduk rumah, Voice Of Men banyak masa tulis komen FB

0
1

Nurul Huda Abhar

SERUAN kekal duduk di rumah atau ‘stayed at home’ yang disarankan kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19, dipatuhi ahli kumpulan Voice Of Men (VOM).

Nama VOM atau diberi jolokan ‘ketua netizen’ tidak asing lagi apabila sering dilihat membalas komen di hantaran Facebook dengan ayat-ayat mencuit hati.

Menurut VOM yang dianggotai Hakim, Fath, Lutfi, Yusmawira dan Arif, memandangkan semua ahli mempunyai kerjaya masing-masing, mereka menangguhkan aktiviti sepanjang sekatan pergerakan penuh atau ‘lockdown’.

“Musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ni banyak program kami kena hold (tangguh) sebab sahut seruan kerajaan untuk duduk rumah dan kurangkan jumpa orang kecuali perlu.

“Memandangkan kami semua ada kerjaya masing-masing dan menyanyi nombor dua, jadi kami tangguh dulu mana yang boleh.

“Masa yang ada tu yang kami guna untuk komen post (hantaran). Ada post yang keluar daripada page yang kami tak follow (ikut) pun, tapi sebab FB (Facebook) recommend (syor) dekat news feed, kami pun komenlah,” kata VOM kepada Malaysiapost.

Voice of Men mencuit netizen menerusi komen-komen lucu dan sindiran pada laporan portal berita di Facebook

Mengulas rentetan beberapa selebriti dan orang ternama yang didakwa atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), VOM menyerahkan kepada netizen untuk menjalankan ‘tugas’.

Ini kerana, katanya, netizen muak dengan sikap segelintir pihak yang masih degil dan tidak cakna dengan usaha kerajaan memastikan penularan Covid-19 dapat dikekang.

“Tentang langgar SOP tu, ramai netizen dah komen, kami pun tak ada nak cakap apa sangat sebab semua dah diulas.

“Tapi kami berharap sangat ada banyak duit, bolehlah merentas negeri tanpa kegusaran,” katanya dalam berseloroh.

Berkongsi perkembangan perjalanan seni, mereka kini dalam perancangan merakam beberapa single baharu termasuk kolaborasi bersama penyanyi rap dari United Kingdom (UK).

Sementara itu, jika sebelum ini lagu Masak Apa Tak Jadi Hari Ni ciptaan VOM menjadi trending ketika PKP 1.0 lalu, mereka kini merancang merakam kembali lagu tersebut.

“Lagu Masak Apa Tak Jadi Hari Ni itu adalah kesinambungan daripada sebuah halaman di Facebook yang menyiarkan gambar-gambar lucu masakan tetapi tidak menjadi.

“Selepas lagu Saranghaeyo yang jadi filler dalam drama Nasi Kerabu Untuk Che Abe, kami sekarang dalam perancangan untuk rakam beberapa single terbaru.

“Lagu English ft rapper dari UK, dan ada juga perancangan nak rakam semula lagu Masak Apa Tak Jadi Hari Ni. Tapi apa-apa pun tunggu boleh rentas negeri semula, baru boleh aktif,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here