KKM kesan 19 Varian yang membimbangkan

0
3

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan 19 kes varian membimbangkan (VOC) Covid-19 melibatkan 15 kes varian Beta (B.1.351) dan empat kes varian Delta (B.1.617.2) hasil survelan genomik secara berterusan dikesan sejak 24 Mei hingga hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata empat kes baharu varian Delta itu, yang dahulu dikenali sebagai varian India, melibatkan tiga kes di Labuan dan satu kes di Kuala Lumpur.

Katanya, kesemua tiga kes di Labuan adalah jangkitan dari luar negara yang merupakan kes-kes dari Kluster Layangan Labuan, manakala satu kes di Kuala Lumpur adalah jangkitan tempatan.

“Bagi 15 kes baharu varian Beta pula (varian South Africa) sebanyak enam kes dilaporkan di Johor, lima kes di Kelantan serta masing-masing satu kes di Kuala Lumpur, Kedah, Melaka, dan Terengganu.

“Kesemua kes adalah merupakan jangkitan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, sehingga kini, jumlah kumulatif kes jangkitan Covid-19 yang dikategorikan sebagai VOC dan varian mempunyai kepentingan (VOI) adalah 138 kes, membabitkan 122 kes VOC dan 16 kes VOI.

“Jumlah kes VOC yang dilaporkan adalah varian Beta, varian Alpha yang dahulunya merupakan varian United Kingdom dan varian Delta.

“VOI pula melibatkan varian Theta (varian Filipina), varian Eta (varian Nigeria), dan varian Kappa (varian India B.1.617.1),” katanya.

Beliau berkata, KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit.

“Ia termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan Covid-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini dalam komuniti,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here