PEMINAT bola sepak negara meletakkan harapan yang tinggi kepada skuad Harimau Malaya kerana ‘terpedaya’ dengan projek naturalisasi untuk pasukan kebangsaan.
Perkara itu diluahkan bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali yang menyifatkan kekalahan kepada Emeriah Arab Bersatu (UAE) awal pagi semalam sebenarnya sesuatu yang sudah dijangka.
“Berdasarkan pengalaman bermain dengan pasukan negara timur tengah, keputusan seperti ini sudah dijangka.
“Memang bukan mudah untuk bermain dengan Pak Arab, sedikit kealpaan akan dihukum.. main pula di tempat dan padang mereka.
“Boleh saya katakan, kita semua hanya terpedaya dengan skuad dan projek “naturalisasi” yang dibuat,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Safee yang juga wira skuad Harimau Malaya ketika menjulang Piala AFF Suzuki 2010 berkata, kehadiran beberapa pemain naturalisasi menyebabkan ramai yang percaya skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mampu melakar sesuatu ke atas UAE.
Bagaimanapun, kata pemain Kuala Lumpur City FC itu, skuad negara masih memiliki baki dua perlawanan pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai iaitu menentang Vietnam dan Thailand.
Safee juga menyatakan keyakinan pemain tempatan jika diberi peluang dan kepercayaan, mampu membawa kejayaan kepada skuad kebangsaan kerana akan bermain mati-matian demi negara.
“Kalau ikutkan hati pemain, esok juga nak main demi membalas kepercayaan dan membuktikan kita bukanlah seperti apa yang peminat fikirkan.
“(Sekarang) Bukan masa untuk angkat bendera putih, masih ada peluang… Kita, Vietnam dan Thailand tidak jauh berbeza.. Insya-Allah kita boleh menang,” katanya.
Dalam aksi menentang UAE, pemain naturalisasi Guilherme de Paula dikecam peminat susulan aksi hambar dan seolah-olah ‘tiada jiwa’ menyarung jersi Harimau Malaya.
Malah, dua lagi pemain naturalisasi iaitu Liridon Krasniqi serta Mohamadou Sumareh juga dikritik peminat kerana mempamerkan aksi hambar serta tidak menampakkan kesungguhan.
Dalam perlawanan itu, Malaysia kalah 0-4 sekali menghuni tangga keempat Kumpulan G dan perlu memenangi baki dua perlawanan untuk menghidupkan semula peluang ke Piala Asia serta pusingan selanjutnya kelayakan Piala Dunia. – Malaysiapost

