SIDANG Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini memutuskan penjualan arak di kedai runcit seperti 7-Eleven dibenarkan sekiranya mempunyai lesen.
Bagaimanapun, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, MKN telah memutuskan kilang arak dan premis yang khusus menjual arak tidak dibenarkan beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh bermula 1 Jun lalu hingga 14 Jun ini.
Beliau berkata, sebagaimana maklum, premis atau syarikat perniagaan dan perkhidmatan yang dikategorikan sebagai perlu atau ‘essentials’ seperti makanan dan minuman dibenarkan beroperasi di bawah senarai perkhidmatan perlu.
“Premis seperti ini termasuklah pasar raya, pasar mini dan kedai serbaneka. Sebahagian premis ini turut mempunyai lesen dan seksyen khas untuk menjual minuman keras.
“Oleh itu, tiada larangan untuk premis terbabit yang dikategorikan sebagai perlu dan mempunyai lesen untuk menjual minuman keras yang telah mendapat kelulusan beroperasi untuk menjual barangan yang terdapat dalam premis mereka termasuklah minuman keras dengan syarat mereka patuh kepada peraturan yang telah ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Rosol berkata, perkara itu juga terpakai kepada rokok yang dijual dalam premis yang disenaraikan di bawah kategori perlu atau ‘essentials’ tertakluk kepada peraturan penjualan sepertimana yang telah ditetapkan.
“Sekali lagi ditegaskan, apa yang dibenarkan dalam senarai perkhidmatan perlu, itu sahaja yang dibenarkan beroperasi. KPDNHEP mengikut sepenuhnya SOP yang telah disediakan oleh MKN,” katanya. – Malaysiapost

