BARISAN Nasional (BN) disahkan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan mengalahkan dua calon Bebas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan calon BN, Mohd Zaidi Aziz memenangi PRK DUN Slim itu dengan majoriti 10,945.
Mohd Zaidi meraih 13,060 undi daripada keseluruhan 15,451 pemilih berdaftar yang keluar mengundi pada hari ini.
Dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan Santhara Sekaran Subramaniam masing-masing meraih 2,115 undi serta 276 undi.
PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Mohd Khusairi Abdul talib, 60, pada 15 Julai lalu di Hospital Bentong akibat serangan jantung.
Pada PRU Ke-14 lalu, Mohd Khusairi menang dengan majoriti 2,183 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon Bersatu, Mohd Amran Ibrahim dan calon PAS Muhammad Zulfadli Zainal.
SPR memaklumkan sebanyak 68.40 peratus pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab itu di 12 pusat mengundi yang dibuka bermula 8 pagi hari ini.
PRK Slim adalah PRK ke-12 selepas Pilihanraya Umum (PRU) Ke-14 dan yang kedua buat Perikatan Nasional (PN) selepas mengambil-alih kepimpinan negara daripada Pakatan Harapan (PH) pada Mac lalu.
PRK DUN Slim turut berlangsung dalam kebiasaan baharu yang membabitkan pelbagai perubahan dan peraturan operasi standard (SOP) dibuat susulan pandemik Covid-19. – Malaysiapost

