Kerajaan kaji sidang Parlimen secara hibrid

0
2

Nilam Oshman

KERAJAAN sedang mengkaji mekanisme untuk mengadakan sidang Parlimen secara hibrid yang melibatkan persidangan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan, berkata langkah itu diambil bagi memastikan Parlimen dapat berperanan sewajarnya walaupun negara masih berdepan dengan pandemik Covid-19 serta program pemulihan masih berjalan di semua peringkat.

Takiyuddin berkata, satu mesyuarat diadakan hari ini secara maya antara beliau selaku Menteri bertanggungjawab dengan hal ehwal Parlimen bersama Yang DiPertua Dewan Rakyat dan Dewan Negara serta Timbalan-Timbalan Yang DiPertua.

“Ia bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan persiapan ke arah pelaksanaan Parlimen secara hibrid yang merangkumi aspek-aspek infrastruktur, teknikal, undang-undang, peraturan dan kewangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan pada dasarnya bersetuju dengan pelan konsep Parlimen Hibrid ini diadakan yang berasaskan penyertaan Ahli-ahli Parlimen secara kehadiran fizikal dan juga secara maya.

“Mesyuarat turut memutuskan supaya kajian lebih terperinci dibuat segera bagi menyediakan kertas lengkap yang akan diangkat dalam waktu terdekat untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri,” katanya .

Sebelum ini, kerajaan berdepan tekanan pelbagai pihak menuntut suapaya sidang Parlimen diadakan untuk proses semak dan imbang bagi setiap keputusan atau tindakan yang dilaksanakan dalam tempoh darurat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here