BERAT mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Itulah yang terjadi kepada seorang pengguna Facebook ini yang baru mengerti dan memahami tanggungjawab seorang menteri berjuang memerangi Covid-19 sejak setahun yang lalu.
Pemilik akaun Facebook yang bernama Eyra Zira dalam satu komennya pada satu hantaran Menteri Kanan Keselamatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengakui kini dia baru menyedari melihat kegigihan menteri itu berusaha keras melawan virus merbahaya itu.

Malah, Eyra mengakui dia pernah marah sehingga mengeluarkan kata-kata kesat kerana tidak memahami peranan dan tanggungjawab yang digalas Ismail Sabri sebelum ini.
“Sejujurnya saya pernah mengeluarkan kata-kata kesat pada datuk, pernah marah terlalu marah… Tapi sekarang tengok datuk macam penat. Menteri lain saya tak tahu, tapi datuk banyak memikul beban seolah olah semua benda dipikul oleh datuk,” catat Eyra.
Menurut Eyra, hatinya mula merasa sayu kerana saban hari melihat kelibat Ismail Sabri bersama Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di kaca televisyen yang tidak berputus asa menyeru rakyat memerangi Covid-19.
“Tertengok live Pak Long Mail dengan Dr Noor Hisham, Allah rasa sayu hati. Dua manusia ini yang bertungkus lumus. Pak Long paling banyak bentangkan itu ini.., ” katanya.
Komen Eyra itu telah mendapat respon balas Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan yang berterima kasih kerana wanita itu memahami tanggunggjawab yang digalasnya.
“Its ok… Saya faham. Saya dah lama maafkan Eyra dan semua yang pernah marah kepada saya. Saya tahu sebagai manusia biasa saya tidak boleh lari dari melakukan kesilapan yang membuatkan orang marah… Maafkan saya. Terima kasih kerana memahami,” katanya.
Sejak negara dilanda pandemik Covid-19, Ismail Sabri yang bertindak sebagai menteri penyelaras Majlis Keselamatan Negara (MKN) adalah menteri yang paling dekat di hati rakyat Malaysia.
Mana tidaknya, hampir setiap hari Ismail Sabri akan muncul secara langsung di kaca televisyen melaporkan dan menjawab isu yang berkaitan prosedur operator standard (SOP) MKN. – Malaysiapost

