PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa pihak berwajib memantau kilang-kilang yang beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, termasuk dalam perkhidmatan perlu.
Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, berkata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) terlalu mudah memberikan kebenaran tanpa usul periksa hingga menyebabkan sesetengah pihak mengambil kesempatan.
“Mula-mula cuma 95,142 dianggap ‘essential’. Tidak lama kemudian naik kepada 128,150 ‘essential’. Esok lusa tidak tahu pula berapa banyak lagi bisnes akan dikategorikan sebagai ‘essential’.
“Mungkinkah jumlah itu termasuk yang menipu supaya dikategorikan ‘essential’? Kilang pembuatan topi keledar mengaku kilang buat PPE pun MITI boleh terpedaya ‘essential’.
“Itu belum termasuk yang bukan ‘essential’ mungkin sedang beroperasi secara sembunyi-sembunyi. Mohon pihak berwajib pantau habis-habisan,” katanya menerusi Facebook.
Menurutnya, terdapat rungutan di media sosial tentang kilang bukan dalam perkhidmatan perlu masih beroperasi.
“Justeru, siasat dan bertindak segera tangani semua isu ini. Tempoh 14 hari bukan panjang. Kita perlu menang.
“Ia kerana rakyat semakin senak, sesak dan semput untuk terus hidup dalam keadaan kes Covid-19 yang tinggi. Sebab itu sebelum ini rakyat mendesak pelaksanaan ‘total lockdown’ yang benar-benar ‘total lockdown’.
“Bukan ‘total lockdown’ bertaraf ‘semi lockdown’ yang akhirnya rakyat berisiko di ‘smackdown’,” ujarnya.
Beliau turut memetik kenyataan Sultan Johor:
“Biar kita telan ubat yang pahit sekarang daripada menanggung sakit melarat dan berterusan”.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid berkata, namun kesalahan tidak boleh diletakkan 100 peratus kepada pemilik perniagaan atau kilang-kilang.
Katanya, mereka tidak mendapat sokongan secukupnya untuk membolehkan operasi henti sementara tanpa risiko ‘bankruptcy’.
“Jika perniagaan mereka bungkus, yang teraniaya pekerja-pekerja juga. Dari peringkat atas sehinggalah di bawah.
“Begitu juga dengan rakyat marhaen. Terutama mereka yang bekerja sendiri, berpendapatan harian atau komisyen dan peniaga kecil. Ada yang dipotong gaji oleh majikan.
“Mereka kurang bantuan yang sewajarnya supaya dapat duduk tenang di rumah sepanjang ‘semi lockdown’,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, jika ada moratorium inklusif, pengurangan ansuran bukan ‘refinance’ dan i-Sinar 2.0 pasti rakyat mampu ‘self lockdown’ tanpa perlu pun ‘total lockdown’. -Malaysiapost

