Tugas mulia jururawat, berkorban nyawa demi pesakit

0
2

KELUARGA kepada jururawat yang meninggal dunia bersama kandungannya berusia tujuh bulan kerana Covid-19 pasrah dengan pemergian insan tersayang mereka dan bangga dengan tugas mulia dijalankannya.

Keluarga Siti Aishah Mohd Zamri, 26, yang meninggal dunia di Hospital Labuan jam 10.40 pagi, Rabu lalu selepas bertarung hampir lapan hari menyifatkan wanita itu sebagai seorang cekal menjalankan tugas walaupun berisiko tinggi berikutan penularan wabak.

Dipetik Harian Metro, adiknya, Mohd Nur Amin, 25, berkata mereka berbangga dengan pengorbanan Siti Aishah yang tetap teguh bertugas di sebalik risiko sebagai seorang ibu mengandung dalam merawat pesakit Covid-19.

“Tugas kau mulia Cah (nama panggilan Siti Aishah), kau berkorban nyawa demi merawat pesakit dan kami berbangga dengan kamu.

“Kami sekeluarga masih terkejut dengan kejadian ini apatah lagi arwah meninggal dunia bersama bayi sulung berusia tujuh bulan dikandungnya,” katanya berasal dari Kampung Serting Tengah, Jempol, Negeri Sembilan.

Siti Aishah bertugas di Hospital Labuan sejak Januari lalu dan mengikuti suaminya, Leftenan Muhammad Iqmall Muhammad Sukri yang bertugas di sebagai pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Mohd Nur Amin berkata kakaknya dimasukkan ke wad pada 26 Mei dan disahkan positif Covid-19 selepas menjadi kontak rapat kepada seorang pesakit yang dirawat di Hospital Labuan.

Katanya, kali terakhir dia berhubung dengan arwah pada malam 30 Mei lalu menerusi aplikasi WhatsApp dan sempat memberikan kata-kata semangat kepadanya.

“Arwah memberitahu masih demam, sakit kepala selain degupan jantungnya dan bayi dalam kandungan laju namun tidak mengalami sesak nafas.

“Arwah kemudian menghubungi ibu dan ayah bagi meminta maaf selain mahu dihalalkan makan minum kerana arwah merasakan tidak akan bangun pada keesokan hari,” katanya.

Menurutnya, pada jam 12 tengah hari, 31 Mei lalu, abang ipar menghubunginya memaklumkan arwah dimasukkan ke unit rawatan rapi akibat pendarahan dalam perut namun bayi dikandungnya dikatakan berada dalam keadaan baik.

“Namun pada jam 11 pagi semalam, kami dikejutkan dengan panggilan abang ipar yang memaklumkan kakak sudah meninggal dunia bersama bayi dikandungnya.

“Permintaan keluarga untuk mengebumikan arwah kakak di sini tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan semasa Covid-19 selain faktor keselamatan kesihatan,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here