PENULIS agak kurang bersetuju dengan cara beberapa sahabat-sahabat terdiri dari gelaran ustaz, ahli-ahli tertentu, warganet dan segelintir pengamal perubatan yang tidak berlapang dada dalam isu pengambilan vaksin ketika wabak melanda tanah air kita.
Kita boleh berbeza pandangan tetapi perkongsian tersebut perlu dilihat dari sudut sains, ilmu perubatan, alatan atau mekanisme rawatan yang ada dalam menghindarkan masyarakat atau mencegah daripada dijangkiti Covid-19 ini.
Tambahan pula, mutakhir ini beberapa penyebaran video di alam maya tersebar yang mendakwa segelintir tokoh agama cuba ‘menghasut’ orang ramai dengan nada yang harmoni mengenai vaksinisasi ini adalah dari agenda iluminati dan sewaktu dengannya.
Sebagai rakyat yang bertanggungjawab sepatutnya tidak mudah tersentak dan mencaci dengan kata-kata kesat. Ia perlu dilihat dari sudut kaca mata yang luas dengan menyiasat terlebih dahulu.
Bimbang terdapat segelintir golongan/dakyah luar menggunakan alam maya untuk menghasut serta menanamkan kebencian kepada golongan agama dengan tindakan memutarkan video yang di dakwa ‘anti vaksin’ atau golongan anti kepada ustaz-ustaz/agamawan atau mempunyai niat lain bagi merosakkan reputasi agama terbabit.
Penulis menasihati supaya warganet tidak cepat melatah dan siasat dahulu bila tarikh dan masa kenyataan video itu dikeluarkan.
Sekiranya video itu dirakam sebelum vaksin dibawa masuk ke Malaysia adalah tidak menjadi kesalahan untuk kita bahaskan perkara itu sama ada baik atau buruk pengambilan vaksin tersebut. Sebab dikalangan doktor-doktor barat juga banyak menuturkan perkara yang sama sehingga menimbulkan keresahan kepada masyarakat seantero dunia.
Atau ini mungkin juga rentetan penularan video-video doktor dari negara-negara barat telah berjaya ‘meracuni’ segelintir golongan mereka untuk mempersetujui kenyataan yang dikeluarkan pada suatu ketika dahulu.
Sehingga propaganda yang dimainkan mengenai keburukan vaksin telah meresap kepada segelintir mereka untuk bersependapat mengenai vaksin Covid-19.
Adalah tidak adil untuk kita memaki, menghina menuduh atau menghukum golongan tokoh agama sebagai anti vaksin dek kerana propaganda dari luar negara yang bertebaran di alam maya yang banyak memporakkan minda sehingga menimbulkan kebimbangan rakyat mengenai bahayanya vaksin.
Malahan tersebar pula beberapa video luar negara yang memaparkan insiden kematian yang didakwa dari vaksin telah berlaku di beberapa buah negara sebelum ini.
Penulis ingin menasihati supaya semua masyarakat atau warganet bertabayyun keratan video yang ditularkan dan perlu diteliti terlebih dahulu samada kenyataan dikeluarkan itu sebelum atau selepas vaksin dibawa masuk ke Malaysia sebelum kita menuduh dan mencerca mereka.
Ia seperti dijelaskan dalam surah Al Hujurat ayat 6 membawa maksud : Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
Kita sebagai orang awam perlu merujuk ketetapan ulil amri, mufti berfatwa dan nasihat dari pihak berkuasa dalam sesebuah negara disamping menambah ilmu mengenai perkara berikut supaya mampu menjelaskan kepada masyarakat dengan naratif berkualiti mengenai kebaikan vaksim dalam konteks Covid-19.
Dalam masa yang sama kita juga jangan campur adukkan fungsi Ilmu Fiqh dengan Ilmu Akhir Zaman. Malah perlu cerdik dan bijak dalam menyusun dan meraikan keadaan setempat, bimbang kita terpalit dengan fitnah dek kebodohan diri sendiri.
Secara keseluruhannya, pada pandangan peribadi penulis cukuplah untuk kita beramal dengan diri sendiri dan tidak perlu menghasut orang lain ke arah itu.
Zaman sekarang ruang dan peluang untuk dikecam sangat terbuka luas. Jadi, berhati-hatilah dengan segala tindakan yang dilakukan.
Penulis ialah penceramah bebas, Abu Rujhan Al Tumpati
(Artikel ini adalah pandangan penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost)

