PEGAWAI penguat kuasa digesa untuk menggunakan budi bicara kepada rider makanan yang menikmati makanan di tepi jalan.
Perkara itu disuarkan Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh, yang merayu pegawai penguat kuasa mengamalkan sikap budi bicara sebelum mengeluarkan kompaun kepada mereka.
Hannah berkata demikian susulan kejadian enam penghantar makanan mengadu bahawa mereka dikompaun di dua lokasi berbeza ketika makan di padang di tepi jalan, baru-baru ini.
“Riders ini sememangnya tidak ada ruang kerja. Makan di tepi jalan? Tidak selamat.
“Saya merayu budi bicara pegawai penguat kuasa supaya memahami realiti di luar. Pendapatan tidak mencukupi untuk bayar kompaun. Mungkin amaran atau petunjuk SOP yang sesuai lebih ‘prihatin’ diberikan berbanding kompaun.
“Kita nak lawan Covid-19, bersama-sama mendidik dan memahami golongan yang susah dan rajin bekerja mencari pendapatan halal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Lebih menyulitkan, Hannah berkata, mereka yang dikompaun pula perlu ke Pejabat Kesihatan Daerah untuk mengetahui nilai kompaun yang perlu dibayar. – Malaysiapost

