Agong ucap tahniah kepada dua kadet dipilih masuk Akademi Tentera AS

0
1

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada dua kadet dari Malaysia, atas kejayaan mereka dipilih memasuki Akademi Tentera Amerika Syarikat pada tahun ini.

Menerusi kenyataan di Facebook Istana Negara, Seri Paduka Baginda, selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, turut menzahirkan rasa suka cita dan bangga atas kejayaan Mohamad Khairel Adha Mohad Khairee dan Nicholas Ong Yong Xen, dipilih daripada calon seluruh dunia yang bersaing untuk mendapatkan tempat dalam akademi tersebut.

“Kejayaan ini juga membuktikan lagi bahawa kita mampu bersaing dan berjaya di peringkat antarabangsa, sekaligus mengharumkan nama Malaysia.

“Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan semoga kejayaan mereka berdua menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan belia, untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan cemerlang di dalam bidang masing-masing,” kata kenyataan itu.

Seri Padukan Baginda menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Mohamad Khairel Adha dan Nicholas Ong Yong Xen dalam menimba ilmu dan pengalaman seumur hidup ini di akademi tersebut.

Al-Sultan Abdullah turut mendoakan semoga mereka berdua dilimpahi kejayaan cemerlang dan menggunakan pengalaman serta ilmu yang diperolehi di akademi tersebut untuk berbakti kepada negara yang kita cintai bersama ini.

Semalam, Kedutaan Amerika Syarikat telah mengumumkan kejayaan Mohamad Khairel Adha dan Nicholas Ong Yong Xen dipilih memasuki akademi tersebut pada tahun ini.

Mohamad Khairel Adha akan memasuki Akademi Tentera Udara Amerika Syarikat manakala Nicholas Ong Yong Xen di Akademi Tentera Laut Amerika Syarikat.

Kedutaan Amerika Syarikat turut mengumumkan bahawa sebuah majlis keberangkatan untuk kedua kadet tersebut akan diadakan secara langsung menerusi laman Facebook kedutaan (https://www.facebook.com/usembassykl/) pada 9 Jun bermula jam 9 pagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here