PERTUBUHAN Pendokong dan Pencinta Ulamak (Geng Ustaz) mengisytiharkan perang terhadap golongan anti vaksin yang menunggang agama untuk menakutkan orang ramai mengambil vaksin.
Presidennya, Kamalulhysham Suhut, berkata pihaknya bertekad memerangi dakyah palsu golongan anti vaksin ini sekali gus membantu kerajaan membetulkan tanggapan salah masyarakat mengenai pemberian vaksin di negara ini.
Justeru, beliau berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi untuk mempromosikan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan sekali gus menggalakkan masyarakat untuk mendaftar dalam program berkenaan.
“Hukum pengunaan vaksin adalah harus dan wajib diambil oleh semua lapisan masyarakat yang sudah diarahkan oleh pemimpin untuk memerangi penularan Covid-19 bukan sahaja di negara ini, malah di seluruh dunia.
“Vaksin yang diberikan ini sudah melalui pelbagai kajian dan penyelidikan oleh pakar dan ia terbukti boleh mencegah dan membantu memutuskan rantaian Covid-19.
“Sebagaimana sabda Rasulullah, ‘Berubatlah kalian’, maka pengambilan vaksin ini juga dikira langkah untuk kita berubat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Kamalulhysham berkata, ulama dan institusi agama berpendapat pemberian vaksin menjadi tuntutan kepada semua rakyat bagi mengambil langkah pencegahan terlebih dahulu sebelum terkena wabak atau sebarang penyakit.
“Setiap daripada kalangan kita yang menerima vaksin bukan sahaja melindungi diri malah melindungi mereka di sekeliling kita.
“Jadi jangan mudah terpengaruh dengan anasir yang mengatakan bahawa ia haram atau dikaitkan dengan perkara yang negatif serta tidak menampakkan keindahan Islam itu sendiri,” katanya.
Bagi menjayakan program berkenaan, Kamalulhysham berkata, pihaknya akan menggerakkan ahli Gang Ustaz di seluruh negara untuk membantu kerajaan dalam kempen melalui tazkirah, poster dan video pendek untuk disebarkan kepada masyarakat. – Malaysiapost

