Hadi digesa tarik balik artikel ‘Kebangkitan Palestin, Penyatuan Umat Islam’

0
1

SEBANYAK 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam melahirkan rasa tidak puas hati terhadap kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerusi artikel ditulis Presiden PAS itu berhubung isu Palestin baru-baru ini.

Dalam kenyataan bersama Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia itu, menyifatkan artikel bertajuk ‘Kebangkitan Palestin, Penyatuan Umat Islam’ yang dimuat naik menerusi Facebook Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah tersebut, amat mencalarkan penyatuan yang mereka harapkan.

“Disaat kesatuan umat Islam yang kita dambakan, tulisan beliau pula seolah telah menggoyahkan kesatuan ini dengan dakwaan bahawa mimbar-mimbar Makkah dan Madinah telah diatur dan dipergunakan oleh Zionis.

“Ia jelas sekali merupakan dakwaan besar yang mencemarkan kesucian mimbar-mimbar di seluruh Makkah dan Madinah, dan ini termasuklah mimbar Dua Masjid Suci Umat Islam.

“Kami pasti, kenyataan liar ini juga telah menjadi faktor penggerak kepada beberapa nota bantahan yang telah dihantar ke pejabat Kedutaan Besar Arab Saudi di Kuala Lumpur sejak seminggu yang lalu,” katanya kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, ia termasuk satu demonstrasi yang berlaku di hadapan pejabat Kedutaan Besar Arab Saudi, Jalan Ampang pada 27 Mei lalu anjuran Pertubuhan Perubahan Rakyat Malaysia (GERAK), di mana menyaksikan satu tunjuk perasaan yang dipenuhi dengan hamburan perkataan-perkataan kesat kepada kerajaan Arab Saudi.

“Kenyataan Duta Khas YAB Perdana Menteri ke Timur Tengah tersebut pada perenggan lain juga dilihat seolah-olah cuba mencampuri urusan hal ehwal keselamatan dalam negeri Arab Saudi.

“Ia boleh menjadi satu ancaman serius kepada hubungan baik yang telah terjalin antara Malaysia dan Arab Saudi,” katanya.

Sehubungan itu, Gabungan NGO-NGO Islam Malaysia amat berharap agar kerajaan Malaysia boleh menzahirkan satu pendirian jelas tentang peranan Arab Saudi dalam konflik di Timur Tengah terutama di Palestin, di mana dunia termasuk PBB juga telah mengiktiraf peranan negara itu dalam mendokong hak umat Palestin sejak dahulu lagi.

“Justeru, nota harapan bersama ini kami serahkan setelah 11 hari kami menaruh harapan agar kenyataan Duta Khas YAB Perdana Menteri tersebut akan ditarik balik memandangkan ia telah menerima teguran dan kritikan pelbagai pihak termasuk dari warga netizen yang cakna akan hubungan baik antara kedua negara,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here