Melaka ada makmal saringan Covid-19 sendiri

0
2

MAKMAL Diagnostik Covid-19 milik Perbadanan Bioteknologi Melaka (PBM) diberikan kelulusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menjalankan ujian makmal Ujian Real-Time Reverse Transcription- Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Kit Ujian Rapid Antigen (RTK-Ag) untuk mengesan individu yang dijangkiti mulai semalam.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali memaklumkan negeri itu mencatat sejarah apabila menjadi kerajaan negeri pertama di Malaysia memiliki makmal saringan Covid-19 sendiri.

Mengulas lanjut, menurutnya, sistem Makmal Diagnostik PBM itu disokong oleh sistem Tracvirus.

“Justeru, PBM kini dibenarkan untuk menjalankan kedua-dua ujian berkenaan, sekali gus berupaya menyokong aktiviti saringan yang dijalankan oleh fasiliti kesihatan KKM, seterusnya membantu mempercepatkan usaha mengawal jangkitan wabak tersebut dalam komuniti,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, makmal itu mampu menerima sebanyak 250 sampel RT-PCR dan ujian RTK-antigen setiap hari.
“Keputusan ujian RT-PCR boleh diperoleh dalam tempoh 24 jam, manakala bagi ujian RTK-antigen keputusan ujian boleh diperoleh dalam tempoh kurang satu jam.

“Dengan itu, ia memberikan pilihan tambahan kepada hospital swasta dan klinik-klinik di Melaka yang menawarkan ujian calitan (swab test) Covid-19 untuk mendapatkan ujian RT PCR dengan makmal ini,” katanya.

Selain daripada ujian makmal, PBM juga boleh menawarkan perkhidmatan kaunter ujian saringan bergerak (drive thru) atau ‘onsite’ untuk Covid-19 dengan kerjasama klinik dan hospital panel.

Katanya, individu atau syarikat yang ingin membuat ujian saringan Covid-19 juga boleh berurusan dengan makmal ini melalui tempahan awal di talian 010-5302600.

“Dengan kemudahan fasiliti makmal terbaharu PBM ini, kerajaan negeri berharap ia bukan sahaja dapat membantu mengurangkan beban sampel di Hospital Melaka, malah boleh membantu mengurangkan beban sampel di fasiliti kesihatan KKM khususnya di zon selatan melibatkan Negeri Johor dan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, terdapat 35 fasiliti swasta yang diiktiraf untuk menjalankan ujian tersebut di seluruh negara termasuk sebuah makmal swasta yang diiktiraf di Melaka.

Sehubungan itu, melalui kejayaan ini, kerajaan negeri berharap kapasiti ujian saringan Covid-19 dapat ditingkatkan di Melaka.

“Ia sekali gus menyokong inisiatif yang dicadangkan semasa sesi mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara Pengurusan Covid-19, di mana kerajaan negeri mencadangkan untuk individu yang ingin mendapat kebenaran rentas negeri wajib menjalani ujian calitan RT-PCR.

“Dan makmal PBM dapat menyokong inisiatif tersebut sekiranya cadangan itu diterima oleh Majlis Keselamatan Negara,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here