Wira Putra gesa isu LGM disiasat dengan telus

0
2

WIRA Putra Malaysia (Wira Putra) menyatakan kesal di atas ketirisan yang berlaku dalam Lembaga Getah Malaysia (LGM) dan akan memperjuangkan supaya kebenaran ditegakkan dan tanah LGM kembali ditadbir urus dengan baik.

Naib Ketuanya, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah, berkata pihaknya memandang serius berkenaan dua dakwaan di mana sumber fakta yang datang daripada bekas Pengerusi LGM sendiri.

“Wira Putra menggesa agar isu tanah LGM ini perlu disiasat dengan telus dan sesekali tidak akan membiarkan isu ini diam tanpa berita.

“Laporan siasatan perlu disiarkan kepada umum agar pemegang taruh termasuk penoreh-penoreh getah dapat mengetahui kebenaran berkenaan status tanah yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Mohd Shahriman turut menggesa pihak yang terlibat di dalam kegagalan tadbir urus aset LGM dijatuhkan hukuman yang setimpal tidak kira berjawatan menteri atau pihak pengurusan.

Menurutnya, isu ini secara tidak langsung menyentuh sentimen warisan tanah pemegang taruh termasuk penoreh-penoreh getah yang tidak boleh diambil mudah.

“Wira Putra tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan agresif termasuk tindakan undang-undang sekiranya pihak berwajib gagal menjalankan siasatan dengan telus.

“Wira Putra berikrar akan terus bersuara berkenaan dengan isu tanah LGM ini dan tidak akan sesekali membiarkan isu ini didiamkan tanpa siasatan penuh,” katanya lagi.

Terdahulu, Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris yang merupakan bekas Pengerusi LGM membongkar berkenaan campur tangan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi dalam pengurusan LGM Properties Corporation (LGMPC) telah menyebabkan kegagalan tadbir urus LGMPC.

Dalam pendedahan itu, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali Khairuddin yang juga Menteri kementerian itu, didakwa meluluskan pajakan tanah di Lot 20013 Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation dengan harga RM0.70 satu kaki berbanding harga pasaran RM2.50 untuk tempoh 15+10 tahun dengan kenaikan kadar pajakan 10 peratus setiap lima tahun.

Dakwaan kedua membabitkan Lot 20012 di Jalan Ampang seluas 8.89 ekar yang dicadang dijual kepada Eurowhite Sdn Bhd pada harga RM1,032.92 satu kaki sedangkan harga pasaran adalah sekitar RM1,400 satu kaki.

Berikutan itu, LGM menerusi kenyataan tampil menafikan bahawa dua lot tanah miliknya di Ampang, sudah dijual atau dipajakan kepada dua syarikat swasta atas arahan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi tanpa melalui proses tender terbuka.

Menurut, kenyataannya LGM memandang berat kenyataan tidak benar dan kesalahan fakta yang tular di media sosial berkaitan isu penjualan serta pajakan hartanah milik LGM. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/06/02/isu-lgm-sebahagian-pemimpin-umno-bersemangat-serang-saya-khairuddin/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here