SEBUAH kilang topi keledar dikompaun RM 10,000 selepas dikesan membuat pengisytiharan palsu sebagai sebagai kilang pembuatan sarung tangan dan pelitup muka untuk beroperasi ketika ‘total lockdown’.
Ia bertujuan bagi mendapatkan kebenaran beroperasi dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sepanjang tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.
Serbuan kilang di Jalan Murni, Sungai Dua, Butterworth, Pulau Pinang itu bermula jam 11 pagi tadi dan turut mendapati beberapa pekerja kilang berkenaan khususnya warga asing gagal mengimbas kod QR MySejahtera.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata bertindak atas maklumat dan risikan pihaknya mendapati kilang berkenaan menipu dengan mengisytiharkan pembuatan perubatan bagi mendapatkan kebenaran beroperasi ketika Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).
Berdasarkan surat kebenaran MITI, kilang berkenaan dibenarkan operasi susulan menjalankan sektor barangan keperluan peribadi iaitu pakaian perubatan termasuk pelitup muka dan sarung tangan getah.
“Bagaimanapun, hasil pemeriksaan di kilang berkenaan mendapati mereka beroperasi untuk menghasilkan topi keledar dan tiada sebarang pembuatan perubatan seperti sarung tangan serta pelitup muka ditemui dalam premis berkenaan,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.
Tambahnya, pemilik kilang berkenaan dikompaun RM10,000 dan diarahkan tutup oleh pihak MITI.
“Kilang pembuatan topi keledar tidak termasuk dalam perkhidmatan perlu beroperasi dalam tempoh SPP bermula semalam hingga 14 Jun ini.
“Sekali lagi saya ingin ingatkan, majikan berdepan tindakan tegas sekiranya beroperasi tanpa kebenaran atau memalsukan dokumen perniagaan kepada pihak MITI.
“Kita akan lakukan pemeriksaan bagi mengesan mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan dan orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung operasi sesebuah kilang atau pejabat yang melanggar SOP boleh menghubung balai berhampiran untuk tindakan lanjut dilakukan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Noorzainya berkata, sebanyak 11 kilang dalam daerah Seberang Perai Utara diperiksa sejak semalam.
Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Butterworth, Nadzrah Yusof berkata, hasil pemeriksaan mendapati pihak majikan gagal mengikut Akta 446.
“Mereka didapati gagal menyediakan tempat tinggal berdasarkan peraturan ditetapkan.
“Satu kertas siasatan akan dibuka ke atas majikan kilang tersebut,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: Malaysia Gazette

