TUN Dr Mahathir Mohamad berkata sekatan pergerakan penuh yang sedang berkuatkuasa bukahlah benar-benar atau ‘total lockdown’ seperti diumumkan kerajaan.
Ini kerana bekas Perdana Menteri berkata banyak pengecualian diberikan hingga pelbagai sektor dibuka dan ramai orang masih keluar bekerja serta berlaku kesesakan di jalan raya.
“Saya ucap tahniah kepada kerajaan kerana buat total lockdown, nampaknya tak total kerana orang ramai boleh keluar pergi kerja dan di jalan raya juga kadang-kadang kita jumpa banyak kereta lalu-lalang.
“Bermakna ada pengecualian pada orang itu, orang ini, jadi tak jadi total lah… saya sendiri terima total lockdown, saya tak pergi kerja, saya duduk di rumah, (walaupun) jemu duduk di rumah.
“Tapi apa boleh buat kerana kita nak patuh pada total lockdown. Tetapi kita dapati kerajaan umum total lockdown, janganlah kata total, kata partial (separa),” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik di YouTube beliau hari ini.
Ahli Parlimen Langkawi itu berkata kerajaan sepatutnya membuat sekatan penuh seperti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0.
“(Masa itu) Tak ada satu pun kereta di jalan raya, tak ada orang berjalan-jalan, itu total, ini bukan total,” katanya.
Sekatan pergerakan penuh atau total lockdown fasa pertama dikuatkuasakan di seluruh negara mulai semalam sehingga 14 Jun ini.
Bagaimanapun kerajaan mengumumkan 17 sektor diberi pengecualian kerana tersenarai dalam perkhidmatan perlu atau ‘essential services”. – Malaysiapost

