“PARTI Bersatu telah jauh menyeleweng dari perjuangan asalnya,” dakwa bekas Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.
Bercakap dalam rakaman video berdurasi 1.15 minit itu, Osman juga mahu melihat Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim yang berlangsung sekarang.
“Walaupun saya masih menjadi wakil rakyat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas, Johor, saya masih lagi Bersatu. Parti ini masih lagi dalam kerajaan Perikatan Nasional, tetapi saya tak kisah itu semua.
“Apa yang saya fikirkan perjuangan Bersatu yang suci ikhlas, tetapi parti ini telah menyeleweng dari perjuangan asalnya,” katanya.
Video itu dipercayai dirakam ketika ADUN berkenaan dilihat berkempen bersama pemimpin Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) di Slim malam Isnin lalu.
Sementara itu, berdasarkan laporan Malaysiakini, Osman hanya menjawab, “biasalah” sebagai respon kepada video berkenaan.
Terdahulu, beliau berkata, kehadirannya di DUN Slim atas urusan perniagaan dan pada masa sama mengambil kesempatan menziarahi rakan-rakan.
Bagaimanapun, beliau dilihat bersama orang kuat Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu Abu Bakar Yahya. – Malaysiapost

