AKTIVIS masyarakat, Kuan Chee Heng merayu pihak berkaitan untuk memudahkan operasi dan pergerakan pasukannya dalam melaksanakan misi bantuan kepada orang ramai sepanjang tempoh ‘total lockdown’.
Dia yang lebih sinonim dengan gelaran ‘Uncle Kentang’, berkata ini kerana pihaknya masih belum mendapat surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi.
“Pemandu ambulan /van jenazah, medik kami dan pekerja ‘call center’ kami untuk (bantu) mereka yang sakit dan susah dapatkan bantuan masih belum mendapat kebenaran dari MITI. Kerajaan suruh buat permohonan di MITI sahaja.
“Jadi kami nak tanya, kemanakah kami nak mohon surat kebenaran untuk berulang alik?,” soalnya menerusi hantaran Facebook, hari ini.
Uncle Kentang berkata, sebelum ini ambulan dan van jenazah miliknya mendapat kerjasama baik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan misi bantuan termasuk kebenaran merentas.
“Setakat ini, PDRM beri kami laluan yang baik dan kerjasama yang sungguh memudahkan dan membenarkan kami rentas untuk bekerja dalam ambulan/ van jenazah dan ‘call center’ kami.
“Call center adalah untuk mendengar masalah orang yang nak bunuh diri, lapar dan sakit. Ambulan adalah untuk mengambil pesakit terlantar dan juga mereka yang terlibat dalam kemalangan,” katanya.
Justeru, Uncle Kentang berkata, beliau meminta pertolongan orang ramai yang mempunyai maklumat supaya memaklumkan kepada pihaknya untuk memudahkan misi bantuan diteruskan.
“Kemanakah harus pihak ambulan/ van jenazah bukan kerajaan berbentuk NGO untuk mengambil surat kebenaran?
“Tolong beri nasihat pada kami. Tolong kalau siapa tahu, bantu lah kami. 012-2732148. Setakat ini polis masih beri kami kemudahan,” katanya.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan 17 sektor kategori perlu dibenar beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau total lockdown yang perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, semua aktiviti sosial dan ekonomi yang tidak termasuk dalam 17 kategori berkenaan adalah dilarang sepanjang penguatkuasaan PKP bermula Selasa hingga 14 Jun. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/05/30/hanya-17-perkhidmatan-dibenarkan-beroperasi-sepanjang-lockdown/

