“APA fungsi darurat kalau ini sahaja respons Menteri Kewangan?,” soal Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Abdul Rahman.
Beliau berkata demikian bagi membidas kenyataan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mendakwa kerajaan tidak mempunyai kuasa mengawal bank untuk melaksanakan moratorium automatik kepada rakyat.
Syed Saddiq berkata, kenyataan Tengku Zafrul menghairankan kerana kerana negara ketika ini diisytiharkan darurat untuk melawan Covid-19 dan melindungi rakyat.
“Di bawah Proklamasi Darurat, Kerajaan telah menggantung Parlimen. Bukan itu sahaja, kerajaan sudah luluskan juga penggunaan wang persekutuan tanpa kelulusan Parlimen.
“Maksudnya apa? Kerajaan boleh buat apa yang dirasakan perlu untuk rakyat pada waktu darurat termasuklah menyuruh bank membuat moratorium automatik kepada rakyat.
“Takkan itu pun tak boleh? Apa fungsi darurat kalau ini sahaja respons Menteri Kewangan?,” soalnya menerusi Facebook hari ini.
Syed Saddiq berkata, lebih menghairankan ketika kerajaan mengumumkan PKP 1.0 bank boleh menawarkan moratorium penuh kepada rakyat secara automatik.
“Tiba-tiba pada PKP 3.0, bank sudah tidak boleh boleh buat lagi secara penuh kerana kononnya Kerajaan tak kawal bank.
“Hairan saya. Sekejap kerajaan berjaya buat moratorium penuh, sekejap kata tak boleh sebab tak kawal bank. Adakah rakyat itu hanya susah, lapar dan sakit pada PKP 1.0 dan bukan PKP 3.0 ini?,” katanya.
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu berkata, hakikatnya bank sebenarnya mampu melaksanakan moratorium penuh kepada rakyat.
“Waktu bank buat moratorium penuh pada PKP 1.0, bank masih catat untung besar. Kalau kita tengok keuntungan bersih bank di Malaysia pada suku pertama 2021.
“Maybank- Untung naik 16%; CIMB Bank- Untung naik 384%; Public Bank- Untung naik 15%; Hong Leong Bank- Untung naik 44% dan RHB Bank- Untung naik 14%,” katanya.
Justeru, Syed Saddiq berkata, kenyataan Tengku Zafrul itu seolah-olah hanya untuk ‘mencuci tangan’.
“Jadi apa yang halang bank dari buat moratorium penuh? Untung dapat, duit pun dapat.
“Malangnya, Menteri Kewangan hanya beri alasan, ‘Kerajaan tak kawal bank’. Selesai. Cuci tangan. Tutup lampu pejabat,” katanya.
Semalam, Tengku Zafrul dipetik sebagai berkata, kerajaan tidak mempunyai kuasa perundangan untuk menentukan apa yang dapat disediakan oleh moratorium bank atau bagaimana ia dilaksanakan.
Tengku Zafrul berkata, moratorium itu adalah hasil perbincangan antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan bank-bank.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengapa moratorium tidak diberikan kepada semua dan secara automatik, seperti yang dilakukan pada PKP pertama. – Malaysiapost

