SEBUAH kilang di Taman Medan, Petaling Jaya dikompaun RM10,000 malam tadi susulan ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 kerana beroperasi melebihi masa ditetapkan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya membuat serbuan di kilang berkenaan jam 10.45 malam selepas disyaki melanggar SOP dalam tempoh PKP dilaksanakan.
“Berikutan itu, kompaun RM10,000 dikeluarkan ke atas penyelia kilang iaitu wanita tempatan berusia 41 tahun.
“Kompaun dikeluarkan mengikut Peraturan 17 (2) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di dalam kawasan tempat jangkitan) 2021,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tujuh wanita dan seorang lelaki tempatan berusia 18 hingga 69 tahun yang bekerja di kilang berkenaan turut dikompaun RM2,000 seorang.
“Polis mengingatkan semua sektor perindustrian yang dibenarkan beroperasi untuk mematuhi garis panduan ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh PKP 3.0.
“Tindakan tegas akan diambil ke atas pemilik kilang yang ingkar,” katanya. – Malaysiapost

