Pemuda Umno mohon Ismail Sabri nilai semula syarikat, kilang diluluskan MITI

0
2

PEMUDA Umno memohon Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menilai secara terperinci semua syarikat dan kilang yang mendapat kelulusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk beroperasi sepanjang ‘total lockdown’.

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata ia bagi memastikan semua syarikat dan kilang tersebut benar-benar termasuk dalam 12 kategori ‘Essential Services’ yang dibenarkan.

Beliau berkata, setakat ini dilaporkan 95,142 syarikat telah diluluskan untuk beroperasi sepanjang ‘lockdown’ hingga 14 Jun ini.

“Rakyat hakikatnya sudah bersedia untuk melalui tempoh 14 hari ‘Total Lockdown’ yang diputuskan kerajaan bagi memutuskan rantaian virus Covid-19 buat kesekian kalinya.

“Namun, rata-rata rakyat melahirkan kebimbangan jika kelonggaran diberi kepada kilang dan syarikat yang tidak benar-benar berkeperluan untuk beroperasi dalam tempoh 14 hari ini, rakyat terpaksa diheret secara berterusan untuk hadapi PKP yang tiada kesudahan.

“Pengorbanan semua amat ditagih agar rakyat tidak perlu lagi untuk sengsara secara berterusan. Biarlah kita #SusahSekaliBukanBerkaliKali,” katanya dalam hantaran hari ini.

MITI dalam kenyataan semalam berkata, surat kebenaran beroperasi bagi sektor-sektor ekonomi perlu yang dibenarkan kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 1 hingga 14 Jun ini perlu dimohon melalui portal Covid-19 Intelligent Management System (CIMS) 3.0 yang diseliakan kementerian itu.

Sehubungan itu sektor-sektor ekonomi berkenaan boleh mengakses portal CIMS 3.0 untuk mendapat surat kelulusan beroperasi sekiranya belum menerima kelulusan untuk beroperasi, melalui pautan notification.miti.gov.my.

Sektor-sektor itu adalah pembuatan dan perkhidmatannya yang berkaitan (MRS); perdagangan pengedaran termasuk pemborongan, peruncitan dan pengedaran; makanan dan minuman termasuk untuk haiwan; penjagaan kesihatan dan perubatan termasuk penokok diet, penjagaan dan klinik haiwan serta perkhidmatan veterinar.

Turut disenaraikan adalah komunikasi termasuk media, telekomunikasi dan internet, pos dan kurier serta penyiaran (bagi tujuan penyampaian maklumat, berita dan seumpamanya sahaja); e-dagang dan teknologi maklumat; pengeluaran, penyulingan, penyimpanan, pembekalan serta pengagihan bahan api dan pelincir; dan pembinaan, penyelenggaraan dan pembaikan kritikal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here