Potongan imbuhan tetap, Muhyiddin ucap terima kasih kepada penjawat awam

0
1

TAN Sri Muhyiddin Yassin menyatakan penghargaan dan menyambut baik solidariti penjawat awam yang akan turut serta memberi sumbangan kepada negara bagi memerangi Covid-19.

Sumbangan itu diberikan melalui potongan Imbuhan Tetap Keraian (ITK) dan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) sebagaimana diumumkan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, semalam.

Sumbangan itu tidak termasuk petugas barisan hadapan dan kakitangan kerajaan Gred 1 hingga 28 yang akan dimasukkan ke Akaun Amanah Bencana Covid-19.

Mengulas mengenainya, Perdana Menteri berkata ia membuktikan kebersamaan penjawat awam menggalas tanggungjawab bersama kerajaan memerangi pandemik Covid-19.

“Solidariti ini juga adalah cerminan sokongan penjawat awam terhadap perjuangan para ‘frontliners’ yang berusaha tanpa henti untuk membendung dan melindungi kita semua daripada jangkitan pandemik Covid-19.

“Terima kasih tidak terhingga juga kepada semua kakitangan awam yang terlibat secara langsung dan tidak langsung sepanjang lebih setahun menguruskan pandemik ini.

“Saya doakan agar semua penjawat awam di seluruh negara, tidak kira apa pun peranan anda dalam perjuangan kita memerangi Covid-19 ini akan terus diberkati Allah SWT,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Semalam Mohd Zuki menerusi kenyataan berkata lebih 800,000 penjawat awam akan menyumbang melalui pengurangan elaun selama tiga bulan yang dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

Beliau berkata ia sebagai manifestasi solidariti terhadap Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa +) yang diumumkan Perdana Menteri malam kelmarin.

Pengurangan elaun itu membabitkan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56.

Ia turut melibatkan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati penjawat awam pada masa kini yang akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here