Nurul Huda Abhar
JAWATANKUASA Khas Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) hari ini memaklumkan MySejahtera telah menambah satu ciri baharu dalam aplikasi tersebut.
Ia memberikan pilihan untuk mengenal pasti ibu hamil atau sedang menyusukan anak bagi pertimbangan vaksinasi.
JKJAV menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, pilihan ciri baharu itu bagi memudahkan wanita hamil dan sedang menyusukan anak menerima vaksin yang sesuai semasa temujanji suntikan dos.
“MySejahtera telah melancarkan satu ciri yang memberikan pilihan baru untuk mengenal pasti ibu hamil dan menyusukan anak untuk tujuan pertimbangan vaksinasi.
“Penting untuk anda mengemas kini status kehamilan dan penyusuan anda agar anda dapat menerima janji temu vaksinasi berdasarkan vaksin yang sesuai untuk anda.
“Daftar untuk vaksinasi: https://vaksincovid.gov.my/en/guide,” tulis hantaran itu hari ini.
JKJAV sebelum ini memaklumkan wanita mengandung dan menyusukan anak boleh mengambil suntikan vaksin Covid-19.
Katanya, bagi vaksin Pfizer, ia boleh diambil bagi ibu mengandung dengan usia kandungannya antara 14 hingga 33 minggu.
Katanya, pengambilan suntikan vaksin juga boleh ditangguhkan sehingga selepas seseorang wanita melahirkan anak, manakala ibu menyusukan anak boleh mengambilnya.
Sementara itu, bagi vaksin AstraZeneca, wanita mengandung tidak digalakkan untuk mengambil suntikan tersebut buat masa ini namun ibu menyusukan anak boleh mengambilnya.
Bagi vaksin Sinovac, wanita mengandung tidak digalakkan mengambilnya ketika ini manakala tiada maklumat mencukupi mengenai tahap keselamatan pengambil vaksin berkenaan bagi ibu menyusukan anak. – Malaysiapost
Foto Kredit: TW/JKJAVMY

