Isu LGM: Sebahagian pemimpin Umno bersemangat serang saya – Khairuddin

0
2
fb ust khairuddin

Nurul Huda Abhar

MENTERI Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali mendakwa beberapa laman Facebook yang didakwa memfitnahnya berkaitan isu Lembaga Getah Malaysia (LGM) adalah mesra sebahagian pemimpin Umno.

Malah katanya, sebahagian daripada pemimpin Umno kini sedang bersemangat ‘menyerangnya’ berhubung isu berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, isu tersebut tidak menghalang usahanya untuk memperkasa Muafakat Nasional (MN) yang dimeterai PAS dan Umno dua tahun lalu.

“Page FB (Facebook) yang sedang memfitnah saya dalam isu LGM adalah mesra sebahagian pimpinan Umno. Sebahagian pimpinan Umno pun sedang bersemangat turut menyerang.

“Namun ia tidak menghalang saya untuk terus memperkasakan Muafakat Nasional demi kepentingan ummah.

“Hubungan baik yang terjalin dengan pimpinan Umno juga tidak terjejas,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Mohd Khairuddin yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus dilaporkan membuat laporan polis bagi menafikan dakwaan mengaitkan namanya dengan skandal penjualan dan pajakan dua lot tanah milik LGM di Ampang, yang tular di media sosial baru-baru ini.

Sebelum ini, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendedahkan beberapa surat rasmi bertarikh 18 Disember, 6 Januari dan 11 Mac yang didakwa berkait dengan tanah dimiliki LGM dan turut membabitkan penglibatan Khairuddin.

Dalam pendedahan itu, Khairuddin didakwa meluluskan pajakan tanah di Lot 20013 Jalan Ampang kepada Al-Noor Foundation dengan harga RM0.70 satu kaki berbanding harga pasaran RM2.50 untuk tempoh 15+10 tahun dengan kenaikan kadar pajakan 10 peratus setiap lima tahun.

Dakwaan kedua membabitkan Lot 20012 di Jalan Ampang seluas 8.89 ekar yang dicadang dijual kepada Eurowhite Sdn Bhd pada harga RM1,032.92 satu kaki sedangkan harga pasaran adalah sekitar RM1,400 satu kaki.

Berikutan itu, LGM menafikan bahawa dua lot tanah miliknya di Ampang, sudah dijual atau dipajak kepada dua syarikat swasta atas arahan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi tanpa melalui proses tender terbuka.

Menurut, LGM memandang berat kenyataan tidak benar dan kesalahan fakta yang tular di media sosial berkaitan isu penjualan serta pajakan hartanah milik LGM. – Malaysiapost

Foto Kredit: FB/drtakiri

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here