KEMENTERIAN Luar Negeri menyokong usaha Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) melaksanakan Kempen “Humanitarian Aid Fundraising” untuk rakyat Palestin.
Menteri Luar, Datuk Seri Hishamuddin Hussein berkata, kempen itu bertujuan mengumpul sumbangan daripada pelbagai pihak yang akan digunakan bagi menyediakan bantuan kebajikan dan kecemasan yang amat diperlukan rakyat negara itu ketika ini.
“Kempen ini dilaksanakan PBSM dengan sokongan Kementerian Luar Negeri, antara lain kerana PBSM merupakan badan pertubuhan pertama yang hadir ke Kementerian Luar Negeri seterusnya mengalu-alukan kementerian ini untuk menyokong kempen ini.
“PBSM juga bersetuju untuk bertanggungjawab mengumpul sumbangan dana kewangan daripada individu-individu yang ingin menyumbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Untuk perhatian umum, beliau berkata, dana yang dikumpul akan disalurkan ke Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah seliaan Kementerian Luar Negeri yang mana ia kemudiannya akan diserahkan terus kepada Palestinian Red Crescent Society (PRCS).
“Buat masa ini, sumbangan yang diperlukan ialah berbentuk kewangan. Bagi menampung keperluan ini dengan kadar segera, pihak PBSM menyasarkan kutipan dana kewangan berjumlah sekurang-kurangnya RM1 juta sehingga akhir Jun 2021.
“Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat swasta serta badan kerajaan amat dialu-alukan untuk turut menyalurkan sumbangan terus ke AAKRP sebaik sahaja kempen kutipan dana yang digerakkan sendiri selesai.
“Ini bukan wajib tetapi Kementerian Luar Negeri sedia membantu mana-mana pihak yang berhasrat menyumbang dan mahukan kepastian bahawa sumbangan tersebut akan sampai ke tangan rakyat Palestin,” katanya.
Beliau berkata, bagi pihak kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Luar Negeri amat mengalu-alukan semua pihak untuk menyumbang menerusi kempen ini.
“Semoga Allah SWT mempermudahkan setiap urusan kita demi membantu perjuangan rakyat Palestin menentang kezaliman, penindasan dan penjajahan Israel. InsyaAllah,” katanya.
Selain itu, Mengenai pendirian Malaysia dalam isu Palestin, beliau menegaskan tidak berganjak daripada memberi sokongan kepada negara Islam itu.
“Malaysia sentiasa memberikan sokongan padu kepada rakyat Palestin dan perjuangan mereka dalam mencapai kebebasan mutlak daripada penjajahan haram Israel, ke arah pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitul Maqdis (East Jerusalem) sebagai ibukota Palestin,” katanya. – Malaysiapost

