POLIS menahan empat lelaki dipercayai terbabit dalam kes merusuh di tepi Jalan Dato’ Yusof Shahbudin 16B, Taman Sentosa, Klang dengan menggunakan pedang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata pihaknya menerima satu rakaman video berdurasi 50 saat berkaitan satu insiden rusuhan membabitkan beberapa lelaki.
Menurutnya, rakaman terbabit memaparkan seorang lelaki memakai baju putih berseluar pendek memegang objek menyerupai pedang samurai dan cuba mengejar seorang lelaki memakai baju hitam putih serta berseluar panjang.
“Polis Klang Selatan hari ini membuat tangkapan terhadap empat lelaki berusia 26 hingga 36 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.
“Polis juga berjaya merampas sebilah parang berhulu warna hitam dan hijau, satu telefon bimbit dan sebuah kenderaan jenis Toyota Hilux,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shamsul Amar berkata, pihaknya masih memburu seorang lagi suspek yang dikenali sebagai ‘Jacky’ yang dipercayai terbabit dalam kes berkenaan.
“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan polis sedang giat mengesan suspek yang masih bebas.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes berkaitan boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan Zamrus Zakaria di talian 019-6892777 atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan di talian 03-33762222 atau balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

