Imbuhan tetap penjawat awam dipotong 3 bulan

0
3
Jalur gemilang dipasang di sekitar jalan menujuk ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) di Putrajaya. Malaysiapost/Sharifudin Abdul Rahim

LEBIH 800,000 penjawat awam akan menyumbang melalui pengurangan elaun dianggarkan berjumlah lebih RM30 juta.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata ia sebagai manifestasi solidariti terhadap Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (Pemerkasa +) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi.

Beliau berkata, pengurangan elaun itu selama tiga bulan itu membabitkan sebahagian Imbuhan Tetap Keraian (ITK) bagi Pengurusan Tertinggi dan Gred 44 hingga Gred 56.

Ia turut melibatkan Imbuhan Tetap Khidmat Awam (ITKA) bagi Gred 29 hingga Gred 41 yang dinikmati penjawat awam pada masa kini yang akan disumbangkan kepada Akaun Amanah Bencana.

Menurutnya, sumbangan itu bagaimanapun tidak membabitkan penjawat awam yang berkhidmat sebagai petugas barisan hadapan dan Gred 1 hingga Gred 28.

“Kita memahami penjawat awam sentiasa menjadi tulang belakang kerajaan dalam usaha mengimbangi nyawa dan kehidupan.

“Sumbangan ini tanda kebersamaan penjawat awam dalam menyokong usaha kerajaan bagi memerangi dan melandaikan keluk jangkitan Covid-19 di negara kita.

“Semoga pengorbanan ini menjadi asbab kebaikan dalam kehidupan bagi setiap anggota perkhidmatan awam dan ahli keluarga kita,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Penetapan sumbangan berdasarkan gred

Beliau berkata, surat edaran dan perincian pelaksanaan ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Mohd Zuki turut meminta penjawat awam bersama-sama meneruskan ikhtiar dan meningkatkan komitmen dalam memberikan penyampaian perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara serta membantu memastikan berjaya mengharungi tempoh yang mencabar ketika ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here