PEMBUKAAN semula Parlimen dapat membantu kerajaan memerangi Covid-19 dengan meningkatkan pemahaman rakyat mengenai dasar berkaitan wabak itu serta kepercayaan mereka terhadap kerajaan.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Azalina Othman Said ketika menjelaskan mengenai saranan beliau agar Parlimen dibuka di sebalik kadar jangkitan Covid-19 masih tinggi.
“Saya berpendapat pembukaan semula Parlimen dapat membantu kerajaan mengatasi masalah pandemik, bukan hanya melawan virus, tetapi meningkatkan pemahaman rakyat,” katanya dalam webinar dalam talian malam tadi, lapor Malaysiakini.
Webinar bertajuk ‘Mengapa Parlimen Perlu Bersidang Semasa Covid-19’ itu dianjurkan bersama pengawas pilihan raya Bersih dan Sinar Harian.
Azalina yang juga Ahli Parlimen Pengerang berkata Ahli Parlimen bertanggungjawab kepada penduduk di kawasan masing-masing dan mereka dapat membantu menjelaskan dasar kerajaan berkaitan wabak berkenaan.
“Ada banyak berita palsu, misalnya berkaitan vaksin. Apabila kita ingin bertanya, siapa yang kita tanya? Siapa yang boleh menjawab? Siapa yang boleh memberi kita keyakinan?
“Dalam proses Parlimen, baik secara virtual atau fizikal, dari segi Perlembagaan, seorang wakil eksekutif tidak dapat lari dari menjawab pertanyaan.
“Sama ada Ahli Parlimen setuju atau tidak, itu boleh diperdebatkan, tetapi mereka perlu menjawab pertanyaan,” katanya.
Azalina menambah, rakyat perlu memiliki kepercayaan tinggi terhadap kerajaan agar dasar dapat dilaksanakan dengan lancar.
“Salah satu pendekatan di seluruh dunia dalam memerangi Covid-19 adalah perlu ada kepercayaan pada kerajaan. Sekiranya terdapat defisit kepercayaan, ini akan mengganggu pelaksanaan dasar kerajaan.
“(Sebagai contoh,) kerajaan mengatakan jangan pulang kampung untuk Raya. (Rakyat) tetap pulang.
“Ada banyak hal yang rakyat harus memiliki pemahaman yang lebih mendalam,” katanya.
Baru-baru ini Azalina mencadangkan Dewan Rakyat kembali bersidang kerana ia “satu-satunya cara untuk Malaysia maju ke depan” dalam menangani Covid-19.
Bagaimanapun, bagi mengelak “drama yang tidak diingini”, Ahli Parlimen Pengerang itu mencadangkan supaya tiada usul undi tidak percaya didengar sehingga pandemik berjaya dikawal dan imuniti kelompok mencapai tahap 50 peratus. – Malaysiapost

