ZULSHAFIQAH Zulkafli, pengurus media sosial Datin Noor Kartini Noor Mohamed, membuat permohonan maaf menerusi Instagramnya selepas tular isu berhubung tangkap layar di Instagram ibu Noor Neelofa itu yang dikatakan menghina Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Johor.
Dalam hantaran tersebut, Zulshafiqah membuat permohonan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong serta Sultan Johor.
“Dengan ini, saya Zulshafiqah Zulkafli, Pengurus Media Sosial bagi akaun Instagram Datin Noor Kartini Noor Mohamed menyatakan permohonan maaf saya kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al- Musta’in Billah; Sultan Johor, Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar dan seluruh Kerabat DiRaja Johor, serta Datin Noor Kartini Noor Mohamed dan seluruh keluarga.
“Saya dengan ini bahawasanya ingin menyatakan permohonan maaf berkenaan isu yang tular di media sosial hari ini (semalam) berhubung tangkap layar di media sosial Instagram Datin Noor Kartini Noor Mohamed,” tulisnya.
Zulshafiqah turut menjelaskan keadaan sebenar apabila tersilap memuat naik tangkap layar.
“Tangkap layar itu bertujuan untuk rujukan saya sahaja, tiada sebarang niat untuk dimuat naik di Instagram Datin Noor Kartini mahupun Instagram peribadi saya.
“Saya juga mahu menjelaskan, gambar dan tulisan asal yang dipaparkan adalah bukan dari penulisan saya mahupun Datin Noor Kartini sendiri,” tulisnya lagi.
Zulshafiqah turut memaklumkan dia sudah memberi kenyataan dan kerjasama kepada polis yang menjalankan siasatan berhubung tangkap layar tersebut.
“Saya juga dengan rendah diri memohon maaf kepada Datin Noor Kartini Noor Mohamed serta keluarga di atas kecuaian saya yang menimbulkan masalah kepada Datin Noor Kartini sekeluarga.
“Dengan ini saya berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang sama dan sekali lagi memohon maaf atas keralatan dan kesilapan yang berlaku,” tulisnya.
Sementara itu semakan di Instagram Zulshafiqah mendapati dia bukan pengguna aktif platform media sosial tersebut yang mana hantaran terakhir dimuat naiknya adalah pada 22 Mei lalu.
Malam tadi, polis mengesahkan menerima laporan berhubung paparan di Instagram peribadi milik Noor Kartini yang didakwa mempertikaian saranan Sultan Johor supaya perintah kawalan sepenuhnya dilaksanakan.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar, berkata kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Katanya, siasatan awal mendapati seorang wanita berusia 32 tahun mengaku tersilap menggunakan instagram milik pengadu dengan membuat hantaran di Instastory Instragram.
Terdahulu tular tangkap layar menunjukkan imej dan titah Sultan Ibrahim berkaitan cadangan sekatan penuh bersasar bagi mengurangkan jangkitan Covid-19
Bagaimanapun, disertakan sekali dalam imej itu, kata-kata dipercayai mempertikai niat dan saranan Sultan Johor tersebut, yang dibuat akaun Instagram Noor Kartini. – Malaysiapost

